Samsung Sedang Menguji Bateri Silikon Karbon Untuk Peranti Akan Datang
Effi Saharudin
Selepas siri Galaxy S26 dilancarkan semalam, ramai yang mengeluh tiada perubahan kapasiti bateri dilakukan untuk empat tahun berturutan sedangkan pengeluar China sedang berkejar-kejar menawarkan bateri 10,000 mAh sebagai standard. Ini kerana Samsung SDI belum lagi menawarkan bateri dengan teknologi silikon karbon (SiC) yang berkapasiti tinggi.

Menurut laporan Android Headlines, wakil Samsung yang ditemubual mengesahkan chaebol Korea Selatan ini sudah mula menguji teknologi bateri SiC mereka sendiri. Ia mungkin akan tiba pada siri Galaxy S tahun depan. Tiada pengesahan bila ia akan dilakukan tetapi sekurang-kurangnya ia petanda baik Samsung akhirnya bersedia mengikuti langkah pengeluar China.
Samsung sangat berhati-hari mengenai penggunaan dan sumber bateri mereka selepas insiden Galaxy Note 7 meletup pada tahun 2016. Ia menyebabkan kerugian besar kerana semua peranti perlu ditarik daripada pasaran dan merosakkan reputasi syarikat. Maka tindakan melihat pengeluar China menggunakan teknologi SiC ini adalah kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.