ASUS Memperkenalkan Barisan Komputer Riba Baru Yang Akan Memasuki Pasaran Malaysia
Nazrin
Sewaktu acara CES 2026 pada awal tahun ini, ASUS telah mengumumkan sejumlah komputer riba baru yang dikuasakan oleh siri cip pemprosesan terkini yang diperkenalkan oleh syarikat-syarikat seperti AMD, Intel dan juga Qualcomm yang akan ditawarkan pada tahun ini.

Terkini, ASUS Malaysia baru sahaja mengumumkan bahawa sejumlah komputer-komputer riba ini juga akan memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi. Ini termasuklah ASUS Zenbook Duo, ASUS Zenbook S14 dan ASUS Zenbook A16.
Kemaskini ASUS Zenbook Duo telah diperkenalkan pada awal tahun ini, dan hadir dengan dua skrin 14.0″ OLED 3K dengan sokongan sesentuh, kadar segar semula 48–144Hz VRR, boleh digunakan dengan stylus dan melepasi piawaian VESA DisplayHDR True Black 1000. Tahun ini, ruang antara dwi skrin dikurangkan 70% bagi membolehkan kedua-dua skrin digunakan sebagai satu skrin gergasi dengan lebih mudah.

Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra X9 388H terbaru dan untuk pasaran Malaysia, akan dipadankan bersama memori 32GB LPDDR5x 9600 MT/s RAM, storan sehingga 2TB PCIe Gen 4 SSD dan bateri 99Wh yang menyokong pengecasan 100W. Terdapat kamera web 1080p dengan IR yang menyokong Windows Hello. Sistem audio pula hadir dengan 6 speaker Dolby Atmos dan papan kekunci pula adalah jenis bluetooth yang boleh ditanggalkan.

Pilihan I/O ialah 2x Thunderbolt 4 Type-C, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A, 1x HDMI 2.1 (FRL) dan 1x bicu audio 3.5mm. Walaupun dengan kesemua komponen ini, Zenbook DUO (2026) masih sekadar 1.35 kg tanpa papan kekunci dan 1.65 kg dengan papan kekunci.
Beralih kepada ASUS Zenbook S14 pula, komputer riba ini hadir dengan paparan skrin sesentuh OLED bersaiz 14 inci dan resolusi 3K dengan nilai kecerahan 1100 nit dan kadar segar semula setinggi 120Hz.

Komputer riba ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core Ultra 9 388H dan dilengkapi dengan memori LPDDR5X 32GB dan storan SSD PCIe 4.0 sebesar 1TB.

Sama seperti ASUS Zenbook S14 sebelum ini, ia hadir dengan rangka yang diperbuat daripada aloi Ceraluminum yang membolehkannya hadir dengan berat serendah 1.2kg dan senipis 1.1cm. Walaupun ia mempunyai berat yang ringat, ia masih dimuatkan dengan pelbagai ciri-ciri seperti sokongan palam Thunderbolt 4, HDMI 2.1, WiFi 7 dan Bluetooth 6.0.
ASUS Zenbook A16 hadir dengan kemaskini kepada komponen CPU yang kini menggunakan cip komputer riba terbaru Qualcomm Snapdragon X2 Elite Extreme yang merupakan cip komputer riba Arm paling berkuasa keluaran Qualcomm.

Ia hadir dengan skrin sesentuh 16” 3K OLED, 120Hz dan nisbah 16:10. Ini dipadankan pula dengan pilihan cip Snapdragon X2 Elite Extreme atau Snapdragon X yang dilengkapi GPU Adreno dan NPU 80 TOPS untuk tugasan AI. Memori pula adalah sehingga 48GB LPDDR5X, storan sehingga 2TB PCIe 4.0 x4 NVMe M.2 SSD dan bateri pula 70Wh dengan pengecasan sehingga 130W USB-C.

Sama seperti ASUS Zenbook S14, rangka komputer riba ini diperbuat menggunakan aloi Ceraluminum yang menjadikannya cukup ringan pada 1.2kg, tetapi masih lagi kukuh.
ASUS Malaysia mengatakan bahawa pra-tempahan untuk komputer-komputer riba ini akan dibuka bermula hari ini melalui ASUS e-Store pada harga-harga berikut:
- ASUS Zenbook Duo (2026) – RM12,999
- ASUS Zenbook S14 (2026) – RM8,499
- ASUS Zenbook A16 (2026) – RM7,999