Infinix NOTE 60 Ultra Dilancarkan Dengan Kerjasama Pininfarina Dan Kamera 200MP
Amy Maizuraa
Infinix secara rasmi telah memperkenalkan telefon terbaharu NOTE 60 Ultra di MWC 2026. Peranti ini dibangunkan bersama firma reka bentuk automotif Itali Pininfarina dan hadir dengan beberapa ciri menarik termasuk modul kamera rata, sambungan satelit serta bateri berkapasiti tinggi berasaskan silikon-karbon.

NOTE 60 Ultra hadir dengan rekaan berinspirasikan automotif yang menekankan aspek aerodinamik serta kemasan luar yang menyeluruh. Ia menggunakan Aluminum Unibody Design dengan modul kamera yang dinamakan “Uni-Chassis Cam Module” di mana panel belakang diperbuat daripada kaca Corning Gorilla Glass Victus yang rata tanpa bonggol kamera tradisional.
Bahagian belakang NOTE 60 Ultra turut dilengkapi lampu indicator “Floating Taillight” yang akan menyala apabila peranti dihidupkan. Selain itu, ia turut mempunyai paparan tersembunyi sejenis Active-Matrix Display, sama seperti model Note 60 sebelum ini untuk memaparkan notifikasi atau pembantu maya.

Dari segi spesifikasi, NOTE 60 Ultra hadir dengan skrin 1.5K Ultra HDR yang menyokong kadar segar semula 144Hz serta kecerahan puncak 4,500 nits. Ia dipadankan dengan cip MediaTek Dimensity 8400 dan bateri 7,000mAh silikon-karbon, bersama sokongan pengecasan pantas 100W berwayar dan 50W nirwayar. Infinix turut memperkenalkan teknologi eksklusif Battery Self-Healing, yang dikatakan mampu memulihkan sehingga 1% kesihatan bateri setiap 200 kitaran pengecasan.
Untuk sistem kamera, peranti ini dilengkapi sensor utama 200MP Samsung ISOCELL HPE, lensa telefoto periskop 50MP Samsung ISOCELL JN5 dengan zum optikal 3.5× serta zum digital sehingga 100×, dan kamera ultra lebar. Sebagai tambahan, ia menggunakan enjin imej XDR Image Engine dengan sokongan Ultra HDR Capture, yang direka untuk meningkatkan julat dinamik dalam keadaan cahaya rendah atau kontras tinggi.

Ciri dan perisian berasaskan AI turut menjadi keutamaan pada NOTE 60 Ultra. Antara yang menonjol ialah sokongan Satellite Communication, menjadikannya peranti pertama dalam kategorinya dengan fungsi panggilan dan mesej satelit dua hala. Ciri ini membolehkan pengguna kekal berhubung di kawasan tanpa liputan rangkaian biasa serta berkongsi lokasi ketika kecemasan.
Dari segi perisian, ia menjalankan XOS 16 (Android 16) bersama antara muka baharu yang dinamakan GlowSpace. Fungsi AI pula merangkumi Advanced Health Monitor untuk pemantauan kesihatan secara masa nyata serta pengurusan fail yang lebih peribadi. Infinix turut menjamin sokongan 3 tahun kemas kini sistem operasi untuk memberikan jaminan penggunaan jangka panjang.
[sumber] Infinix NOTE 60 Ultra [/sumber]