Huawei Mate 80 Pro Kini Rasmi Di Malaysia Dengan Harga RM3999
Amy Maizuraa
Huawei hari ini memperkenalkan Mate 80 Pro di Malaysia. Fokus utama peranti ini terletak pada sistem kamera yang dipertingkatkan, binaan lebih tahan lasak serta perkakasan dinaiktaraf untuk pengalaman harian yang lebih stabil.


Mate 80 Pro hadir dengan skrin LTPO OLED 6.75 inci yang menyokong kadar segar semula 120Hz serta kecerahan puncak 3000nits. Ia dipadankan cip Kirin 9030 Pro dengan memori 16GB RAM bersama storan dalaman 512GB yang cukup besar untuk kegunaan harian dan multitasking.



Sistem kamera belakangnya terdiri daripada kamera utama 50 MP Ultra Lighting dengan apertur boleh laras F1.4–F4.0 dan OIS, ultra lebar 40 MP serta telefoto makro 48 MP (OIS). Kamera hadapan pula beresolusi 13 MP sudut lebar bersama rakaman video sehingga 4K.


Huawei Mate 80 Pro dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5750 mAh yang menyokong pengecasan pantas HUAWEI SuperCharge 100W, manakala pengecasan nirwayar mencapai sehingga 80W dengan aksesori khusus. Peranti ini turut hadir dengan penarafan IP68/IP69 untuk perlindungan daripada air dan debu. Dari segi sambungan, ia menyokong Bluetooth 6.0, NFC, dan menjalankan sistem operasi EMUI 15.0.


Mate 80 Pro ditawarkan di Malaysia pada harga RM3,999. Untuk pratempahan awal, pembeli akan menerima hadiah percuma bernilai sehingga RM2,115 termasuk Huawei MatePad 11.5 (bernilai RM1299) serta Huawei Premium Service (RM816).

Pelanggan boleh menikmati faedah premium tambahan AppGallery bernilai sehingga RM1,565 termasuk tawaran eksklusif daripada jenama seperti Wilson, Salomon, DurianBB, ANTA dan OGAWA. Terdapat juga tawaran Shopee PayLater dengan diskaun 10% bagi perbelanjaan minimum RM600 di HUAWEI Experience Store terpilih.