Ulasan Google Pixel 10a – Sembilan Tambah Satu, Pixel 9a Berwajah Baru
Google Pixel 10a telah memasuki pasaran tempatan beberapa minggu lalu, dan kami telah berpeluang untuk menguji peranti pintar kelas mampu milik terbaru daripada Google ini. Peranti ini dilihat cukup menarik kerana pada sekilas pandang, ia hadir dengan spesifikasi yang hampir 100 peratus sama seperti peranti pintar generasi sebelum ini, Google Pixel 9a.

Spesifikasi
| Google Pixel 9a | |
|---|---|
| Skrin | 6.3″ OLED, 120Hz Actua Display, HDR10+ |
| Pemproses | Google Tensor G4 (4nm) |
| Cip | 1 X 3.1 GHz Cortex X4 3 X 2.6 GHz Cortex A720 4 X 1.95 GHz Cortex A720 |
| Cip Grafik | Mali-G715 MP7 |
| RAM | 8 GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 128 GB UFS 3.1 |
| Kamera Utama | 48MP f/1.7, OIS (Utama) 13MP f/2.2(Ultra Lebar) |
| Kamera Swafoto | 13MP f/2.2 |
| Bateri | 5100 mAh Pengecasan berwayar 23W Pengecasan nirwayar 7.5W |
| SIM/Telefoni | 1 Nano, 1 eSIM 5G Sub 6 |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap jari ultrasonik Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 2299 (8/128GB) |
SKRIN
Dengan skrin 6.3″ OLED 120Hz, ia adalah saiz yang sama seperti yang digunakan pada Pixel 9a. Kedua-duanya tidak menyokong sistem LTPO. Perbezaan antara skrin Pixel 10a dan 9a hanya hadir melalui nilai kecerahan. Dalam High Brightness Mode, paparan Pixel 10a boleh ditingkatkan sehingga 2000 nit, dan ia mempunyai nilai kecerahan maksima 3000 nit.

Skrin dari jenis rata maka tidak timbul isu kandungan melimpah ke sisi. Sudut pandangan juga amat memuaskan dengan setiap sentuhan dikesan pantas. Terdapat sokongan HDR10 pada aplikasi penstriman popular seperti Neflix, Apple TV+ dan YouTube.
BIOMETRI
Bezel skrin yang tepat ialah indikator pertama di mana potongan kos dilakukan oleh Google. Perubahan kedua yang kurang ketara ialah penggunaan pengimbas cap jari bawah skrin dari jenis optikal. Sebenarnya perbezaan antara optikal dan ultrasonik tidaklah ketara kecuali apabila jari basah atau kotor. Dalam penggunaan biasa nyahkunci masih boleh dilakukan dengan pantas dengan lokasi sensor terletak pada kedudukan yang mudah diakses.
REKAAN
Pixel 9a mempunyai tubuh yang terasa tegap dan premium di dalam tangan sama seperti Pixel 9 Pro XL, iPhone 16 Pro XL dan Oppo FInd X8 yang diulas sebelum ini. Ini ialah rekaan tubuh peranti paling optimum sekarang. Sisi rata yang selesa dipadankan dengan kemasan yang tidak berkilat membuatkan peranti tidak licin serta sukar sedikit untuk kotor.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada sisi kanan. Konfigurasi masih lagi butang kuasa di atas dan butang laras audio di bawah seperti Pixel 9 Pro XL. Tak tahu kenapa Google meletakkannya terbalik berbanding peranti Android lain di pasaran.
Di bawah terdapat port pengecasan USB-C dengan alur kekisi audio di sebelah kiri dan talam SIM di bahagian kanan. Bergerak ke atas terdapat lubang mikrofon. Tiada bicu audio 3.5mm, tiada pemancar infra merah dan tiada kekisi audio di atas untuk audio stereo yang menembak ke sisi.

Secara ringkasnya, memperlihatkan kepada rekaan tubuh dan semua spesifikasi-spesifikasi lain pada peranti Google Pixel 10a ini, tidak ada bezanya apabila dibandingkan dengan peranti pintar Google 9a yang dilancarkan pada pertengahan tahun lepas. Bahagian belakang peranti ini juga memperlihatkan rekaan logam pada bahagian belakang dan rekaan modul dwi-kamera yang tiada bonggol.

Malah, Google Pixel 10a juga dikuasakan oleh cip pemprosesan Google Tensor G4 yang sama pada peranti generasi sebelum ini, dan hadir dengan penawaran memori dan storan yang sama (8GB/128GB).
PERISIAN – Google Android Paling Asli
Perisian ialah sebab mengapa ramai ingin menggunakan peranti Pixel. Google Pixel 10a adalah versi Android 16 yang paling suci murni tanpa aplikasi gendut dan pelancar pihak ketiga yang tidak begitu menarik.
Bermula dengan peranti Pixel 9a, Google akhirnya telah mula menawarkan penggunaan sistem operasi Android terbaru pada peranti-peranti mereka terus dari kotak tanpa perlu menunggu kemaskini perisian baru. Sama seperti peranti-peranti Google Pixel sebelum ini, Pixel 10a juga akan menerima tujuh kemas kini sistem operasi baru dan kemas kini sekuriti selama tujuh tahun.

Perisian ini berjalan dengan cukup lancar dengan ia dipadankan kepada cip Google Tensor G4 sama seperti siri Pixel 9a sebelum ini. Seperti yang saya katakan sebelum ini, Pixel 10a dilengkapi 8GB RAM tanpa ciri RAM maya dan sekadar storan 128GB UFS 3.1, juga kapasiti sama seperti apa yang ditawarkan pada Pixel 9a.
Selain perisian yang paling ringan, ia masih hadir dengan ciri-ciri menarik seperti Pixel Studio, Screenshot, Magic Editor, Add Me, Reimagine, Gemini dan Circle to Search.
Satu ciri baru yang diperkenalkan khas untuk Google Pixel 10a ialah sokongan untuk teknologi penghantaran data eksklusif untuk peranti Apple, iaitu AirDrop. Google Pixel 10a merupakan peranti Google pertama yang hadir dengan sokongan untuk teknologi penghantaran data tersebut secara terbina, dan tidak memerlukan sebarang perisian tambahan seperti yang ditawarkan oleh sejumlah jenama lain.

Sokongan AirDrop pada Pixel 10a hadir melalui ciri perkongsian fail Quick Share yang mana peranti Pixel 10a akan mengimbas untuk peranti-peranti Apple di sekeliling anda, yang bermakna anda boleh berkongsi fail dengan cepat kepada pelbagai produk Apple seperti MacBook, iPad dan tidak terhad kepada iPhone sahaja.
Menariknya, walaupun Google Pixel 10a berkongsi spesifikasi yang serupa seperti Pixel 9a, termasuklah sistem operasi yang digunakan, fungsi AirDrop ini hanya ditawarkan pada peranti Pixel terbaru, tetapi tidak pada model yang hanya setahun lebih tua.
PENANDA ARAS
Pixel 10a menggunakan cip Google Tensor G4 dengan padanan memori 8GB RAM LPDDR5x serta storan dalaman 128B UFS 3.1. Walaupun Tensor G4 dikatakan sebuah cip kelas mercu, selepas lebih setahun ia lebih layak dikategorikan sebagai peranti kelas pertengahan. Oleh itu ia serasi dibandingkan dengan cip-cip di bawah.
- Samsung Galaxy A57 5G – Exynos 1680 (4nm)
- Poco X8 Pro -Dimensity 8500 Ultra (4nm)
- Vivo V70 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Oppo Reno15 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Honor 400 Pro – Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)
- Google Pixel 10 Pro XL – Tensor G5 (3 nm)
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Google Pixel 10a | 1,202,845 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1,373,996 |
| Poco X8 Pro | 2,086,502 |
| Vivo V70 | 1,464,284 |
| Oppo Reno15 | 1,412,018 |
| Honor 400 Pro | 1,861,573 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |
| Poco X7 Pro | 1,590,533 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Google Pixel 10a | 861 | 4545 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1238 | 4410 |
| Poco X8 Pro | 1721 | 6340 |
| Vivo V70 | 1361 | 4181 |
| Oppo Reno15 | 1280 | 3857 |
| Honor 400 Pro | 1224 | 6083 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Google Pixel 10a | 2665 |
| Samsung Galaxy A57 5G | 1713 |
| Poco X8 Pro | 4120 |
| Vivo X70 | 2093 |
| Oppo Reno15 | 2082 |
| Honor 400 Pro | 4467 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2567 |

Sepanjang penggunaan ini, tidak ada masalah untuk aktiviti biasa seperti menatal media sosial, membuka aplikasi menjalankan permua popular. Prestasinya sama sahaja dengan Pixel 9a.
KAMERA
Sama seperti Pixel 9a, peranti Google Pixel 10a hadir dengan kamera utama sudut lebar 48MP, sudut ultra lebar 13MP dan swafoto 13MP yang sama. Dalam situasi pencahayaan rendah dan tidak memuaskan, gambar yang diambil masih nampak terang, tajam dan penghasilan warna yang tepat dengan situasi sebenar. Lokasi dengan sumber cahaya tidak pecah dan tiada masalah noise.

Dalam situasi pencahayaan yang baik pula gambar yang diambil kekal mantap. Objek nampak tajam dan ini juga dapat dilihat dapat mod makro. Kekurangan pastinya adalah 9a hanya dilengkapi dua kamera dan bukannya tiga seperti majoriti peranti telefon moden. Prestasi zum 9a menjadi terjejas dengan kualiti gambar hanya elok sehingga 2X. Memang ada ciri Super Res tetapi pada tetapan 8X gambar yang diambil mula hilang ketajaman dan ketepatan warna berkurangan.









BATERI
Bateri 5100mAh mampu bertahan sepanjang hari tetapi tidak 24 jam. Jika dicabut daripada pengecas pada jam 6 pagi, ia perlu dicas semula pada jam 10 malam. Hayat penggunaan yang setanding dengan Pixel 9 Pro XL walaupun skrin bukan dari jenis LTPO.

Pengecasan semula bateri pula adalah perlahan kerana terhad kepada 23W. Masa mengecas semula bateri daripada 0-100% adalah 95 minit. Saya menyedari pengecasan 23W hanya dilakukan sehingga bateri mencapai 50W sebelum kuasa dikurangkan apabila tahap pengecasan bateri meningkat. Ini bagi memastikan bateri dilindungi daripada kerosakan yang kadang-kala dilihat berlaku apabila pengecasan pantas digunakan sehingga kapasiti bateri mencecah 100 peratus.
Sama seperti peranti Pixel 9a, penawaran dalam kotak Pixel 10a tidak menawarkan sebarang palam pengecasan. Anda akan perlu membelinya secara berasingan sekiranya ini adalah peranti pintar pertama anda.
AUDIO
Dua speaker stereo yang digunakan adalah memuaskan. Dalam majoriti situasi audio adalah seimbang dan jelas cuma audio daripada speaker bawah nyata lebih lantang kerana kekisi yang lebih besar. Untuk pengalaman audio terbaik gunakanlah fon telinga atau fon kepala.
PESAING
| Google Pixel 10a | Google Pixel 9a | Poco X8 Pro |
| 6.3″ OLED, 1080 x 2424 120Hz, HDR10+ | 6.3″ OLED, 1080 x 2424 120Hz, HDR10+ | 6.59″ AMOLED 1268 x 2756 pixels, 120Hz, Dolby Vision |
| Google Tensor G4 (4nm) 1 X 3.1 GHz Cortex X4 3 X 2.6 GHz Cortex A720 4 X 1.95 GHz Cortex A720 | Google Tensor G4 (4nm) 1 X 3.1 GHz Cortex X4 3 X 2.6 GHz Cortex A720 4 X 1.95 GHz Cortex A720 | Dimensity 8500 Ultra (4nm) 1 x 3.4 GHz Cortex-A725 3 x 3.2 GHz Cortex-A725 4 x 2.2 GHz Cortex-A725 |
| Mali-G715 MC7 | Mali-G715 MC7 | Mali-G720 MC8 |
| 8GB LPDDR5X | 8GB LPDDR5X | 8/12 GB LPDDR5X |
| 128 GB UFS 3.1 | 128 GB UFS 3.1 | 256/512 GB UFS 4.1 |
| Kamera Utama 48MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 13MP f/2.2 (Ultra Lebar) | Kamera Utama 48MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 13MP f/2.2 (Ultra Lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.5, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) |
| Kamera Hadapan 13-MP f/2.2 | Kamera Hadapan 13-MP f/2.2 | Kamera Hadapan 20 MP f/2.0 |
| IP68 | IP68 | IP69K |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 5100 mAh Berwayar 23W Nirwayar 7.5W | 5100 mAh Berwayar 23W Nirwayar 7.5W | 6500 mAh Berwayar 100W |
| Android 16 Kemas kini 7+7 tahun | Android 16 Kemas kini 7+7 tahun | HyperOS 3, Android 16 Kemas kini 5+6 tahun |
| RM 2299 (8/128GB) | RM 2699 (8/128GB) | RM 1499 (8/256GB) RM 1699 (8/512GB) RM 1899 (12/512GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak Google Pixel 10a.
- 1x Google Pixel 10a
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
Penutup
Jika anda sudah sampai ke penghujung ulasan ini, anda akan sedar bahawa ulasan ini sangat memiripi ulasan Google Pixel 9a sebelum ini. Ini adalah kerana ulasan Google Pixel 10a ini adalah ulasan Pixel 9a yang telah diubah sedikit.
Secara ringkasnya, Google Pixel 10a adalah Google Pixel 9a yang hadir dengan kemaskini kepada paparan skrin yang lebih cerah, dan sistem operasi Android terbaru yang secara teknikalnya sudahpun boleh diperlihatkan pada peranti Pixel 9a.

Tanda harga Google Pixel 10a juga beberapa ratus Ringgit lebih murah berbanding dengan Pixel 9a pada tanda harga RM2299, jadi jika anda mahukan sebuah peranti pintar Android yang vanilla dan tidak begitu banyak kerenah, mungkin ini adalah pilihan baik, atau anda juga boleh mencari Pixel 9a dari pasaran terpakai di Facebook Marketplace ataupun Carousell.
Pro:
- Rekaan kompak premium sangat selesa dalam tangan.
- Perisian Android paling suci murni.
- Kemampuan kamera Pixel yang terkemuka.
- Sokongan perisian selama 7+7 tahun.
- Kalis air dan debu IP68.
- Ketahanan bateri yang baik.
- Sokongan AirDrop terbina
Kontra:
- Pixel 10a hanyalah Pixel 9a dengan skrin dan bateri baharu.
- Harga tidak selari dengan prestasi.
