Pratempahan Infinix NOTE 60 Ultra Dibuka Di Malaysia Dengan Harga RM2999
Amy Maizuraa
Seperti yang dijanjikan, Infinix NOTE 60 Ultra kini tiba di Malaysia. Telefon pintar ini hadir hasil kerjasama dengan firma reka bentuk automotif Itali, Pininfarina. Ia nampak premium dengan gabungan Uni-Chassis Camera Module yang diinspirasikan daripada kereta Sport Monocoque. Melalui pendekatan ini, sistem tri-kamera dan paparan Active Matrix dapat digabungkan sepenuhnya dalam satu panel kaca untuk rekaan belakang yang lebih kemas.

Dari segi spesifikasi, Infinix NOTE 60 Ultra hadir dengan skrin 1.5K Ultra HDR yang menyokong kadar segar semula 144Hz serta kecerahan puncak sehingga 4,500 nits. Ia dikuasai oleh cip MediaTek Dimensity 8400 dan dilengkapi bateri silikon-karbon 7,000mAh bersama sokongan pengecasan pantas 100W serta nirwayar 50W.

Infinix NOTE 60 Ultra menggunakan sensor utama 200MP Samsung ISOCELL HPE yang digabungkan dengan lensa telefoto periskop 50MP Samsung ISOCELL JN5 yang menawarkan zum optikal 3.5× serta zum digital sehingga 100×. Ia turut dilengkapi kamera ultra lebar untuk rakaman sudut luas. Sebagai tambahan, telefon ini disokong XDR Image Engine dengan fungsi Ultra HDR Capture, yang direka untuk meningkatkan julat dinamik ketika merakam dalam keadaan cahaya rendah atau kontras tinggi.
Ciri berasaskan AI turut menjadi keutamaan pada NOTE 60 Ultra termasuk sokongan komunikasi satelit dua hala. Dengan adanya fungsi ini, ia menjadi peranti pertama dalam kategorinya yang membolehkan pengguna membuat panggilan dan menghantar mesej walaupun berada di kawasan tanpa liputan rangkaian mudah alih.

Bagi yang berminat, telefon pintar ini boleh dipratempah pada harga RM2,999 bermula 13 hingga 20 Mac 2026. Sepanjang tempoh pratempahan ini, pelanggan akan menerima hadiah eksklusif bernilai sehingga RM1,097 termasuk diskaun RM100 melalui SPayLater, Infinix AI Ring (bernilai RM499), jam tangan pintar XWATCH N5 Pro (bernilai RM399), pengecas nirwayar magnetik 30W (bernilai RM99) serta waranti tambahan 1+1 tahun.
[sumber] Facebook [/sumber]