Ulasan Huawei Mate 80 Pro – Antara Premium Dan Kompromi
Amy Maizuraa
Huawei Mate 80 Pro kembali ke Malaysia selepas menyepi sejak pelancaran Mate50 Pro. Kali ini, peranti masih mengekalkan fokus pada sistem kamera tetapi hadir dengan perkakasan dalaman dipertingkatkan seperti cip Kirin 9030 Pro, paparan OLED 120Hz serta bateri dengan pengecasan pantas. Sejauh mana kemunculan semula ini benar-benar bermakna? Berikut adalah ulasan penuh saya selepas pandang pertama tempoh hari.

Spesifikasi
| Huawei Mate 80 Pro | |
|---|---|
| Skrin | LTPO OLED, 1B colors, 120Hz, HDR Vivid 6.75″ 1280 x 2832 pixels (~460 ppi) Huawei Kunlun Glass 2 |
| Pemproses | Kirin 9030 Pro (6 nm) |
| Cip | 1 x 2.75 GHz 4 x 2.27 GHz 4 x 1.72 GHz |
| Cip Grafik | Maleon 935 |
| RAM | 16GB RAM |
| Muatan Dalaman | 1TB |
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.4-f/4.0, 24mm (lebar), PDAF, OIS 48 MP, f/2.1, 93mm (telefoto periskop), PDAF, OIS, 40MP 120° (ultrawide), PDAF 4K, 1080p@240fps, HDR, gyro-EIS, OIS |
| Kamera Swafoto | 13MP |
| Bateri | 5750mAh Berwayar 100W Nirwayar 80W |
| SIM/Telefoni | 2 Nano, 1 eSIM |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP68/69 |
| Sistem Imbasan | Imbacan cap jari sisi Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM3999 (16GB + 1TB) |
Pengalaman Penggunaan
Pengalaman penggunaan Mate 80 Pro bagi saya terasa konsisten dengan pandang pertama sebelum ini, tanpa banyak perubahan walaupun digunakan hampir beberapa minggu. Huawei masih mengekalkan modul kamera berbentuk bulat, namun kali ini tampil lebih kemas dengan gabungan elemen daripada Mate 60 dan Mate 40. Rekaan ini dinamakan Brand-New Dual Space Ring Design iaitu evolusi daripada rekaan ikonik siri Mate yang membawa simbolik kepada falsafah Innovative Exploration.

Tubuh peranti hadir dengan rekaan berkotak di bahagian hadapan dan belakang manakala sisi melengkung memberikan genggaman yang lebih selesa. Paparan tepi rata dengan bezel nipis pula menambah sentuhan moden yang menjadikan keseluruhan peranti kelihatan kemas dan bergaya. Dari segi pengalaman menggenggam, ia terasa licin tetapi tidak menimbulkan ketidakselesaan atau sakit pada tangan walaupun digunakan dalam tempoh yang lama.

Bagi saya, reka bentuk peranti memberi pengalaman yang bercampur. Modul kamera yang menonjol menjadikan bahagian atas terasa lebih berat dan ini sedikit menjejaskan keseimbangan ketika digunakan dalam jangka masa panjang. Keadaan ini malah mengingatkan saya kepada pengalaman menggunakan iPhone 12 Pro Max dan vivo X300 yang sama-sama mempunyai modul kamera besar sehingga terasa kurang ergonomik.

Sebaliknya, apabila saya mencuba Oppo Find X9 Pro, perbezaannya jelas kerana ia lebih ergonomik dan selesa digenggam untuk kegunaan harian. Dari pengalaman ini, saya dapat melihat bahawa walaupun Huawei cuba mengekalkan identiti reka bentuk unik pada siri Mate, aspek keselesaan masih menjadi faktor penting yang boleh mempengaruhi kepuasan pengguna.
Mate 80 Pro turut hadir dengan pensijilan IP68/69 yang menjadikannya kalis air pada suhu serta tekanan tinggi. Saya sendiri pernah mencuba membiarkan saliran air melalui peranti namun tidak menguji dengan air bertekanan tinggi kerana itu bukanlah senario penggunaan harian.

Dari segi keselamatan, pengimbas cap jari kini dipindahkan ke butang kuasa. Perubahan ini difahamkan mula diperkenalkan sejak siri Mate 70. Sepanjang penggunaan, prestasinya terasa memuaskan kerana peranti beroperasi dengan lancar tanpa sebarang masalah. Hal ini menunjukkan bahawa Huawei bukan sahaja menekankan aspek rekaan dan kamera. Mereka juga memastikan pengalaman penggunaan harian kekal stabil serta konsisten.

Walaupun ada yang menganggap ia sedikit turun taraf berbanding pengimbas dalam skrin, Huawei masih mengekalkan ciri 3D TOF Face Unlock yang jarang ditawarkan pada peranti Android lain. Kehadiran fungsi ini memastikan pengalaman premium tetap terjaga kerana ia memberikan tahap keselamatan tambahan yang lebih canggih.

Prestasi butang pada Mate 80 Pro terasa tegap dan mudah ditekan terutamanya apabila digabungkan dengan fungsi AI Smart Touch. Ciri ini memudahkan saya memanggil pembantu seperti Gemini dengan lebih pantas tanpa perlu menggunakan menu tambahan, lalu menjadikan pengalaman penggunaan terasa lebih mudah dan selesa.

Sementara itu, sistem audio stereo pada Mate 80 Pro memberi pengalaman mendengar yang cukup memuaskan. Bunyi tidak kedengaran kosong, malah mampu memenuhi ruang dengan baik. Walaupun keseimbangan sedikit kurang kerana satu pembesar suara diletakkan pada bahagian ganggang telefon yang kedengaran agak tersepit, namun apabila kedua-duanya digunakan serentak, hasilnya terasa lebih menyeluruh dan memadai untuk hiburan harian.
Menariknya, saya turut perasan adanya sistem pembesar suara yang berfungsi untuk membatalkan gelombang bunyi bocor ketika panggilan telefon. Sepanjang penggunaan, terdapat notifikasi khas yang muncul setiap kali peranti digunakan untuk panggilan video, yang mungkin menjadi penanda bahawa fungsi pembatalan bunyi tersebut sedang aktif.

Skrin sememangnya menjadi salah satu kekuatan utama Mate 80 Pro. Paparan OLED 6.8” bukan sahaja memberikan warna yang mendalam dan kontras yang memuaskan, tetapi juga menawarkan pengalaman paparan yang imersif sama ada untuk menonton video, bermain permainan atau sekadar melayari web. Dengan kecerahan puncak sehingga 1300 nits, ia kekal jelas walaupun di bawah cahaya matahari terik, sekaligus menjadikannya sesuai untuk kegunaan luar. Tambahan pula, sokongan HDR10 memperluas julat warna dan menambah perincian imej, menjadikan tontonan lebih hidup serta menyeronokkan.

Selain itu, bagi saya tepi skrin yang melengkung pada Mate 80 Pro bukan sahaja meningkatkan nilai estetika, tetapi juga memberi kemudahan tambahan melalui kawalan pantas menggunakan gerakan sisi. Kadar segar semula 120Hz memastikan setiap tatalan terasa lancar manakala panel OLED digunakan menawarkan kecerahan lebih tinggi serta penggunaan tenaga yang lebih efisien. Walaupun peningkatan resolusi mungkin tidak begitu ketara berbanding beberapa model sebelum ini, kecerahan tambahan ini memberi perbezaan yang nyata dalam pengalaman harian.

Bahagian tengah atas skrin Mate 80 Pro dengan tiga lubang kecil memang menarik perhatian kerana setiap satunya membawa fungsi tersendiri. Dua daripadanya jelas digunakan untuk kamera swafoto dan modul 3D TOF Face Unlock bagi pengenalan wajah 3D. Lubang ketiga pula masih belum dijelaskan secara rasmi oleh Huawei tetapi berdasarkan pemerhatian ia dipercayai berkaitan dengan sensor tambahan yang menyokong sistem keselamatan pada peranti.

Rekaan ini mungkin menimbulkan rasa kurang senang bagi sebahagian pengguna kerana kelihatan agak pelik pada paparan hadapan. Walau bagaimanapun, jika diperhatikan dengan lebih teliti pendekatan tersebut sebenarnya konsisten dengan siri Mate sebelum ini. Huawei sering menggabungkan modul keselamatan biometrik bersama kamera hadapan dalam susun atur yang serupa.
Perkakasan Dalaman – Cip Kirin 9030 Pro
Mate 80 Pro hadir dengan cip Kirin 9030 Pro yang dipadankan dengan 16GB RAM serta storan dalaman 512GB. Untuk pasaran Malaysia, hanya satu varian ini ditawarkan tanpa pilihan RAM maya seperti yang sering dilihat pada beberapa peranti keluaran China dan slot kad SD juga tidak disediakan.

Dari segi prestasi, peningkatan cip Kirin 9030 Pro pada peranti ini mungkin tidak terlalu besar berbanding Pura80 malah ia adalah cip sama yang digunakan pada Mate X7. Namun selepas beberapa minggu penggunaan, peranti ini masih terasa lancar untuk tugasan harian seperti membuka aplikasi, menatal media sosial dan melakukan kerja. Memori 16GB RAM jelas membantu memastikan responsif walaupun banyak aplikasi dibuka serentak, sekali gus menjadikan pengalaman penggunaan lebih konsisten.
Isu pemanasan pada Mate 80 Pro memang menjadi perkara yang perlu diberi perhatian. Walaupun Huawei telah menambah kebuk udara baharu untuk membantu pengurusan haba, peranti tetap terasa panas selepas digunakan dalam tempoh yang panjang. Ini menunjukkan bahawa penambahbaikan dari segi reka bentuk dalaman masih belum cukup untuk mengatasi cabaran tersebut.
- Honor Magic8 Pro – Snapdragon 8 Elite Gen 5
- Oppo Find X9 Pro – Dimensity 9500
- Apple iPhone 17 Pro – A19 Pro
- Honor Magic V5 – Snapdragon 8 Elite
- Samsung Galaxy S25 Ultra – Snapdragon 8 Elite for Galaxy
- Apple iPhone 16 Pro Max – A18 Pro
- Google Pixel 10 Pro XL – Tensor G5
AnTuTu 3D
| Cip | Skor |
| Huawei Mate 80 Pro | 1,612,053 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |
| Honor Magic V5 | 1,732,200 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 1,946,864 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 1,720,751 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |

Geekbench 6
| Cip | Satu Teras | Multi Teras |
| Huawei Mate 80 Pro | 859 | 4409 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |
| Honor Magic V5 | 1286 | 4926 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 2957 | 9435 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 3359 | 8129 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Huawei Mate 80 Pro | 2605 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
| Honor Magic V5 | 6025 |
| Samsung Galaxy S25 Ultra | 6135 |
| Apple iPhone 16 Pro Max | 4560 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 3266 |

Apabila diuji dengan penanda aras atau permainan grafik tinggi, isu pemanasan pada peranti menjadi lebih ketara. Faktor ini bukan sahaja berkait dengan cip semata tetapi juga boleh dikaitkan dengan bahan binaan yang digunakan yang mungkin kurang efisien dalam melepaskan haba. Dalam penggunaan harian, prestasi masih stabil namun untuk tugasan intensif jelas ada ruang untuk penambahbaikan dari segi sistem penyejukan.
Secara jujur, pengalaman saya ini menggambarkan Mate 80 Pro sebagai sebuah peranti yang berkuasa dan responsif untuk tugasan harian. Namun, isu pengurusan haba menjadikannya kurang sesuai bagi mereka yang mahukan pengalaman gaming atau multitasking berat tanpa kompromi.
Selain itu, aspek GMS (Google Mobile Services) memang menjadi salah satu perkara utama apabila mengulas Mate 80 Pro. Di Malaysia, aplikasi Google seperti YouTube, Gmail dan Play Store sudah menjadi sebahagian daripada keperluan harian. Walaupun tidak disokong secara rasmi, Huawei menyediakan alternatif melalui GBox yang membolehkan pengguna memasang dan menggunakan aplikasi Google dengan lebih mudah.

Dalam pengalaman anda, aplikasi utama seperti YouTube, YouTube Music, Google Photos dan Gmail memang boleh digunakan dengan lancar melalui GBox serta dikemas kini secara berkala. Hal ini memberi sedikit kebebasan kepada pengguna untuk bergantung pada ekosistem Google meskipun pengalaman tersebut tidak sepenuhnya menyerupai peranti Android dengan sokongan GMS rasmi.
Namun begitu, terdapat kekangan yang nyata. Sebagai contoh, aplikasi Chrome tidak boleh dikemas kini melalui Play Store dan memerlukan pemasangan semula melalui AppGallery. Situasi ini menunjukkan bahawa GBox masih belum sempurna dan ada batasan dalam integrasi sistem. Walaupun ia membantu mengurangkan jurang ketiadaan GMS, pengguna masih perlu menerima kompromi tertentu dalam aspek kemudahan dan konsistensi.
Kesimpulannya, Huawei memang menyediakan alternatif yang semakin baik untuk pengguna yang memerlukan aplikasi Google melalui GBox. Namun, pengalaman ini masih belum bebas sepenuhnya kerana terdapat batasan tertentu, contohnya aplikasi Chrome yang tidak boleh dikemas kini melalui Play Store dan memerlukan pemasangan semula melalui AppGallery.
Jika anda seorang pengguna yang sangat bergantung pada ekosistem Google, Mate 80 Pro mungkin terasa agak terbatas. Tetapi jika anda lebih fleksibel dan sanggup menerima kompromi kecil, peranti ini tetap menawarkan pengalaman yang kukuh dengan kelebihan lain seperti reka bentuk premium, kamera canggih, dan paparan berkualiti tinggi.
Tambahan pula dengan harga di bawah RM4000, Mate 80 Pro memberikan nilai yang lebih meyakinkan kerana menawarkan spesifikasi kelas mercu pada kos yang lebih rendah berbanding pesaing seperti Apple dan Samsung. Hal ini menjadikan peranti bukan sahaja relevan dari segi prestasi, tetapi juga menarik dari sudut nilai untuk wang, terutamanya bagi mereka yang mahukan peranti premium tanpa perlu berbelanja terlalu besar.
Perisian Dalaman – EMUI 15
Mate 80 Pro hadir dengan EMUI 15 yang mengekalkan gaya rekaan antaramuka versi terdahulu, namun perlu ditegaskan bahawa ia masih terasa dekat dengan Honor MagicOS. Kedua-duanya berkongsi asas rekaan yang serupa sehingga pengalaman penggunaan menjadi agak serasi bagi mereka yang pernah mencuba peranti Honor. Folder besar, widget interaktif serta tema animasi responsif yang bertindak balas terhadap gerakan peranti jelas menunjukkan persamaan antara kedua sistem ini.

Meskipun begitu, Huawei masih berusaha mengekalkan identiti tersendiri melalui optimisasi kelancaran sistem, kestabilan serta ekosistem aplikasi yang lebih menyeluruh. Honor pula lebih menekankan aspek kebebasan pengubahsuaian antaramuka sekali gus menjadikan MagicOS lebih terbuka kepada perubahan mengikut citarasa pengguna. Hal ini menjadikan EMUI 15 bukan hanya mirip MagicOS tetapi mempunyai kelebihan tersendiri dalam memastikan pengalaman penggunaan yang konsisten, lancar dan stabil untuk kegunaan harian.

Antara ciri utama yang diketengahkan oleh Huawei kali ini ialah AI Composition yang dipromosikan sebagai pertama kali hadir dalam Mate 80 Pro. Walaupun kedengaran menarik, fungsi seumpama ini sebenarnya turut ditawarkan oleh Oppo dalam ColorOS 16 serta realme melalui realme UI yang menggunakan kecerdasan buatan untuk membantu mendapatkan sudut terbaik ketika mengambil gambar. Perbezaannya, pendekatan Huawei lebih mirip kepada realme kerana ia boleh digunakan sebelum gambar diambil, manakala Oppo pula menekankan proses selepas gambar dirakam.
Secara jujur, walaupun Huawei menjenamakan AI Composition sebagai kelebihan baharu, ia bukanlah sepenuhnya eksklusif. Namun begitu, cara penggunaannya yang lebih praktikal sebelum gambar diambil memberi nilai tambah kepada pengguna yang mahukan kawalan lebih baik ketika merakam. Hal ini sekali gus menunjukkan usaha Huawei untuk menambah baik pengalaman fotografi dengan pendekatan tersendiri tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada automasi selepas rakaman dibuat.

Selain itu, terdapat AI Gesture Control yang membolehkan telefon dikawal hanya dengan gerakan tangan tanpa menyentuh skrin. Dari segi privasi, AI Smart Notification memastikan notifikasi tidak boleh dibaca oleh orang lain, manakala AI Noise Cancellation meningkatkan kualiti bunyi semasa panggilan.

Fungsi AI Smart Control pula memberi kebebasan kepada pengguna untuk menyesuaikan butang kuasa, contohnya saya menetapkannya pada aplikasi Gemini di mana dengan dua klik sahaja aplikasi tersebut boleh dibuka dengan pantas. Fungsi ini juga boleh diubahsuai untuk kegunaan lain mengikut kesesuaian.
Ciri AI Remove membolehkan objek yang tidak diingini dibuang daripada gambar, manakala AI Best Expression memilih ekspresi wajah paling sesuai, khususnya apabila gambar tidak menjadi seperti mata tertutup. Terdapat juga Intelligent Identification yang membantu pengecaman pintar dalam pelbagai situasi, serta AI Translation yang menyokong terjemahan suara dan teks secara masa nyata berguna dalam komunikasi berlainan bahasa.

Untuk elemen lebih santai, Huawei turut memperkenalkan Emoji Crush, iaitu tema menarik yang membolehkan ekspresi emoji berubah apabila peranti digoncang, menambah elemen ceria pada antaramuka. AI Messaging pula menyembunyikan notifikasi mesej apabila sistem mengesan individu lain sedang melihat skrin, berguna dalam situasi tertentu tetapi sokongan aplikasi masih terhad.
Dalam aspek komunikasi, AI Calls menambah kejelasan panggilan dengan teknologi pengurangan bunyi dua hala. Prestasinya membantu dalam persekitaran bising walaupun tidak sepenuhnya sempurna. Secara keseluruhan, ciri AI pada Mate 80 Pro menunjukkan usaha Huawei untuk menjadikan peranti ini lebih pintar dan mesra pengguna.
Ada fungsi yang berkesan dan memberi nilai tambah, namun terdapat juga beberapa ciri yang masih belum konsisten atau sudah pun ditawarkan oleh pesaing lain. Dengan kata lain, Huawei cuba membina sebuah ekosistem yang menyatukan pelbagai ciri untuk kegunaan harian, tetapi pengalaman sebenar tetap bergantung kepada tahap kesesuaian setiap pengguna.
Kamera Dan Prestasi Gambar
Mate 80 Pro hadir dengan tetapan kamera yang menyeluruh. Ia dilengkapi dengan kamera utama 50MP dengan apertur boleh laras F1.4–F4.0, sokongan OIS serta sensor RYYB. Turut melengkapkan peranti ini ialah kamera sudut lebar 40MP dengan apertur F2.2 dan sensor RYYB, serta telefoto makro 48MP dengan apertur F2.1 dan sokongan OIS. Selain itu, terdapat juga kamera True-to-Colour yang berfungsi untuk menghasilkan warna lebih tepat. Dalam masa yang sama, peranti ini menyokong sehingga 4× zum optikal, manakala rakaman video boleh mencapai resolusi setinggi 3840 × 2160 piksel.

Mate 80 Pro turut menawarkan ciri fotografi yang cukup pelbagai, menjadikannya sebuah peranti yang versatil untuk pelbagai gaya rakaman. Antara fungsi yang tersedia termasuk AI Composition, AI Moving Picture, Ultra Speed Snapshot, Night Mode, Super Macro, High-res, Time-Lapse, apertur fizikal boleh laras, Portrait, Pro Mode, Slow-Mo, Light Painting, Stickers, Master AI, Capture Smiles, Audio Control, Timer dan Burst Shooting.
Kesemua ciri ini memberikan pengguna pilihan yang luas untuk menyesuaikan rakaman mengikut keadaan dan kreativiti masing-masing. Untuk kamera hadapan, ia menggunakan sensor 13MP yang boleh dianggap memadai bagi kegunaan swafoto dan panggilan video.





Sepanjang pengalaman saya menggunakan kamera peranti ini, hasil yang diberikan adalah konsisten dengan beberapa kelebihan serta kekurangan yang wajar diberi perhatian. Penuras asal menghasilkan warna yang lebih tepat sekali gus menjadikannya sesuai untuk rakaman harian atau potret yang ingin kelihatan semula jadi. Sementara itu, penuras Vivid pula memberikan warna yang lebih tepu walaupun kadangkala boleh menjadi agak keterlaluan dalam situasi tertentu terutamanya apabila subjek mempunyai warna terang atau pencahayaan tidak seimbang.








Pada waktu malam, kamera Mate 80 Pro menunjukkan prestasi yang agak meyakinkan. Isu pembiasan cahaya atau blooming tidak terlalu ketara, malah terdapat sedikit kesan sinematik seakan vignette yang jarang ditemui pada telefon lain. Julat dinamik yang luas membantu mengekalkan perubahan warna dengan lebih baik dan seimbang, menjadikan hasil rakaman malam lebih menyerlah.






Namun begitu, mod Super Macro agak mencabar untuk digunakan kerana sukar mendapatkan fokus yang tepat terutamanya apabila subjek terlalu kecil atau pencahayaan tidak stabil. Dari segi keupayaan zum, walaupun ketiadaan multi-focal length mungkin dianggap sebagai kekurangan, kualitinya masih memuaskan tanpa penurunan ketara pada perincian imej. Sepanjang penggunaan, saya juga tidak mengalami masalah paparan berkelip-kelip yang mengganggu, sesuatu yang sering berlaku pada sesetengah peranti lain.




Dalam mod potret, kamera Mate 80 Pro memberikan hasil yang agak meyakinkan. Warna tona kulit masih kelihatan baik, walaupun pada waktu malam ia sedikit terjejas sekiranya pencahayaan tidak terkawal. Selain itu, efek kecantikan tidak keterlaluan dan hasil bokeh tampak menarik, namun auto fokus kadangkala menjadi isu terutamanya pada jarak fokus yang jauh atau apabila subjek bergerak pantas.





Sementara itu, potret dengan cahaya belakang yang kuat menghasilkan sedikit hingar manakala potret malam pula sekadar memuaskan tetapi masih mampu memisahkan subjek daripada latar dengan baik. Hal ini menunjukkan bahawa sistem kamera Mate 80 Pro berupaya mengekalkan kualiti potret dalam pelbagai keadaan, meskipun terdapat beberapa batasan teknikal yang perlu diberi perhatian.

Dari segi fotografi malam, kamera Mate 80 Pro memberikan hasil yang sederhana kerana banyak bergantung pada pencahayaan. Walau bagaimanapun, mod Supermoon menawarkan pengalaman yang lebih memuaskan kerana bulan dapat dirakam dengan jelas tanpa hingar dan warnanya juga lebih tepat berbanding kamera utama. Oleh itu, mod ini boleh dianggap sebagai salah satu ciri paling menonjol untuk rakaman malam sekali gus menambah nilai unik kepada sistem kamera peranti ini.
Sementara itu, kamera swafoto 13MP walaupun tidak setinggi kamera utama dari segi resolusi tetapi masih mampu menghasilkan imej yang berkualiti. Ia memadai untuk kegunaan harian seperti swafoto mahupun panggilan video, malah pengalaman penggunaan turut diyakini dengan maklum balas positif daripada rakan dan keluarga yang melihat hasil panggilan video. Mereka menyatakan bahawa imej yang dipaparkan kelihatan lebih baik berbanding beberapa peranti lain yang pernah digunakan untuk ujian panggilan video.










Secara keseluruhan, kamera pada peranti ini mampu memberikan hasil yang konsisten dan menarik, dengan beberapa ciri unik seperti kesan sinematik serta mod Supermoon yang menonjol. Walaupun begitu, proses pasca pemprosesan agak perlahan kerana mengambil masa sekitar lima saat sebelum gambar siap sepenuhnya. Dari segi pengalaman, ia tetap memuaskan, tetapi masih ada ruang untuk penambahbaikan khususnya pada kelajuan pemprosesan dan kebolehgunaan fokus makro.
Bateri Dan Pengecasan
Dalam penggunaan harian, Mate 80 Pro memang mampu bertahan sehingga sehari penuh malah lebih lama jika digunakan secara berkala. Namun, apabila digunakan secara intensif, penurunan baterinya agak drastik dan lebih cepat terasa.

Daripada pengalaman saya sendiri, peranti tersebut mampu memberikan sekitar 5 jam 52 minit, 5 jam 47 minit, dan paling kurang 4 jam lebih Screen-On Time (SOT) bergantung pada corak penggunaan. Angka ini memadai untuk kebanyakan pengguna aktif, tetapi jelas menunjukkan bahawa setiap peranti mempunyai tahap ketahanan bateri yang berbeza mengikut gaya penggunaan harian.
Kelemahan pada ketahanan bateri Mate 80 Pro ini sebenarnya agak seimbang kerana ia hadir dengan sokongan pengecasan pantas 100W yang disertakan bersama kepala pengecas dan kabel A-C dalam kotak. Untuk mendapatkan kuasa penuh 100W tersebut, pengguna memang perlu menggunakan kabel khusus yang disediakan. Jika menggunakan kabel lain, kelajuan pengecasan akan turun kepada sekitar 66W sahaja meskipun kepala pengecas menyokong sehingga 90W.
Bahasa mudahnya, pengalaman pengecasan Mate 80 Pro tidak mengecewakan. Walaupun ada sedikit batasan dari aspek teknikal, peranti ini masih cukup pantas untuk mengisi semula bateri dalam masa singkat. Tambahan pula, sokongan pengecasan nirwayar 80W menjadikan pengalaman lebih bebas dan fleksibel. Walaupun saya tidak sempat menguji sepenuhnya, melihat pada kelajuan 100W berwayar yang sudah sangat laju, boleh dijangka bahawa pengecasan nirwayar juga mampu memberikan prestasi yang memadai untuk kegunaan harian
Apa Ada Dalam Kotak Huawei Mate 80 Pro?
Berikut kandungan yang disertakan bersama unit:
- 1 × Huawei Mate 80 Pro.
- 1 × Kepala pengecas 100W (dua port USB-A dan USB-C).
- 1 × Kabel USB-A ke USB-C.
- 1 × Kerangka silikon.
- 1 × Manual pengguna.
- 1 × Pencungkil SIM.
Kesimpulan
Kesimpulannya, Mate 80 Pro memang layak digelar sebuah peranti premium kerana ia hadir dengan reka bentuk mewah, kamera canggih, paparan berkualiti serta harga yang lebih kompetitif berbanding pesaing utama. Namun, saya katakan ia masih ada kompromi kerana pengalaman sebenar tetap dipengaruhi oleh beberapa kekangan seperti ketiadaan sokongan rasmi GMS, isu pemanasan dan bonggol kamera yang menjejaskan keseimbangan.

Walaupun begitu, dari sudut nilai untuk wang, Mate 80 Pro masih mampu menempatkan dirinya sebagai pilihan yang berbaloi untuk pengguna yang mahukan gabungan prestasi berkuasa, gaya dan harga lebih rendah tanpa perlu berbelanja lebih. Bagi mereka yang sanggup menerima kompromi kecil, ia tetap menawarkan pengalaman premium yang kukuh dalam kelasnya.
Apabila dibandingkan dengan kelas mercu lain seperti Samsung Galaxy S26 Ultra, Apple iPhone 17 Pro Max, dan Oppo Find X9 Pro, kedudukan Mate 80 Pro mula menjadi lebih jelas. Galaxy S26 Ultra menonjol dengan kamera versatil serta ekosistem Android yang lengkap, sesuai untuk mereka yang mahukan pengalaman menyeluruh tanpa banyak batasan.

iPhone 17 Pro Max pula stabil dengan ekosistem iOS kukuh dan pengalaman premium paling konsisten walaupun hadir pada harga yang lebih tinggi. Find X9 Pro pula menawarkan reka bentuk lebih ergonomik dan ringan sekaligus menjadikannya pilihan bagi pengguna yang mementingkan keselesaan harian.
Daripada pengalaman saya sendiri, Mate 80 Pro terasa seperti sebuah peranti yang cuba mengekalkan identiti unik Huawei sambil bersaing dengan gergasi lain dalam kelas mercu. Ia memberi rasa premium yang nyata tetapi kompromi yang ada membuatkan pengguna perlu benar-benar menilai sama ada kelebihan kamera dan harga lebih rendah cukup untuk mengimbangi kekangan ekosistem serta ergonomik.
Kelebihan
- Reka bentuk premium tegap dan kemas.
- Paparan 120Hz untuk skrin lebih lancar.
- Prestasi cip Kirin 9030 Pro dengan AI pintar dan cekap tenaga.
- Butang + AI Smart Touch akses pantas pembantu digital.
- Audio stereo bunyi penuh ruang sesuai hiburan.
- Pengecasan pantas 100W sangat laju dengan kabel khusus.
- Pengecasan nirwayar 80W fleksibel dan memadai.
- Pembatalan bunyi bocor privasi lebih terjaga.
Kekurangan
- Ketahanan bateri sederhana cepat susut.
- Kabel khusus diperlukan untuk kuasa penuh 100W.
- Audio kurang seimbang kerana kedudukan pembesar suara.
- Sokongan rangkaian & ekosistem aplikasi lebih terhad berbanding pesaing.
- Notifikasi pembatalan bunyi kadangkala mengganggu.
