Ulasan Honor 600 Lite – Telefon Kasual Yang Konsisten
Amy Maizuraa
Honor 600 Lite telah rasmi dijual di Malaysia pada harga RM1399. Ia boleh dianggap sebagai telefon kelas pertengahan yang menekankan kestabilan penggunaan harian dengan fokus terhadap bateri besar dan pengalaman yang konsisten. Namun begitu, ia bukanlah pilihan terbaik untuk mereka yang mahukan ciri premium. Kenapa saya katakan begitu? Berikut adalah ulasan penuh yang menghuraikan kelebihan dan kekurangan peranti ini.
Spesifikasi Ringkas
| Honor 600 Lite | |
|---|---|
| Skrin | 6.6-inci AMOLED, 1080 x 2412 piksel (~394 ppi) 120Hz, 6500 nits (puncak) |
| Pemproses | Mediatek Dimensity 7100 Elite (6 nm) |
| Cip | 4 x 2.4 GHz Cortex-A78 4 x 2.0 GHz Cortex-A55 |
| Cip Grafik | Mali-G610 MC2 |
| RAM | 12 GB RAM 12 GB RAM Maya |
| Muatan Dalaman | 256GB |
| Kamera Utama | 108 MP, f/1.8, (lebar) 5MP, f/2.2 (ultra-lebar) |
| Kamera Depan | 16 MP, f/2.5, (lebar) |
| Bateri | 6520 mAh Berwayar 45W |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Tiada |
| Kalis Air | IP65 |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 1399 (12/256GB) |
Pengalaman Penggunaan
Pengalaman saya menggunakan peranti ini terasa hampir sama seperti Honor 400 Lite tahun lalu. Dari segi reka bentuk, tiada perubahan besar, namun gabungan sisi rata dengan lengkungan masih memberi keselesaan untuk penggunaan jangka panjang. Tubuh yang ringan pula menjadikannya mudah dibawa tanpa menimbulkan rasa kurang selesa walaupun disimpan dalam poket untuk tempoh lama. Dalam kelasnya, ia tetap kelihatan meyakinkan dan cukup baik untuk digunakan setiap hari.

Pengalaman ini sekali lagi mengingatkan saya kepada penggunaan 400 Lite tetapi dengan sedikit penambahbaikan dari segi kemasan dan rasa genggaman. Honor berjaya mengekalkan keseimbangan antara reka bentuk yang ergonomik dan praktikal menjadikan peranti ini sesuai untuk kegunaan harian tanpa rasa terbeban.

Rekaan ergonomik memberi genggaman yang selesa, manakala bonggol kamera yang tidak terlalu menonjol menambah nilai estetik tanpa mengganggu keseluruhan rupa. Secara keseluruhan, ia terasa lebih matang dan meyakinkan, sambil mengekalkan kesederhanaan yang mudah dihargai dalam penggunaan seharian.
Tahun ini, bonggol kamera hadir dengan rekaan baharu tanpa panel jernih yang sebelum ini menyerupai iPhone 11 dan iPhone 12. Sebaliknya, ia menggunakan LED flash bulat yang lebih besar. Dari segi fungsi, ia masih berperanan sebagai flash biasa cuma pencahayaannya agak terang sehingga boleh menyebabkan sedikit silau.

Perubahan ini jelas membezakan peranti daripada 400 Lite yang sebelum ini menekankan gaya mirip iPhone sehingga menggunakan label pemasaran “iPhone Killer. Bagi saya, penggunaan label tersebut lebih kepada penawaran ala iPhone pada harga mampu milik, bukan dari segi prestasi kerana siri HONOR ini masih berada dalam segmen pertengahan.
Konsep lain turut dipinjam daripada Apple ialah kewujudan butang AI yang boleh digunakan sebagai akses pantas ke beberapa aplikasi khususnya kamera. Honor memberi penekanan pada fungsi kamera melalui butang ini supaya kelihatan seakan-akan ciri premium, tetapi ditawarkan pada harga lebih rendah.

Sebenarnya, butang AI ini bukanlah ciri baharu sepenuhnya kerana ia sedia diperkenalkan sejak HONOR 400 Lite. Fungsi asalnya boleh diubah suai untuk pelbagai kegunaan seperti akses pantas ke Honor AI, cadangan skrin pintar, kawalan tetapan sistem serta integrasi dengan aplikasi seperti Google Lens. Kesemua ini selari dengan konsep yang diketengahkan ketika pengenalan 600 Lite di mana fokus lebih kepada pengalaman penggunaan yang praktikal berbanding menekankan aspek prestasi semata-mata.

Dari sudut teknikal, AI Button memang memberi pengalaman berbeza apabila digunakan sebagai kawalan kamera. Ia hadir dengan sensor tekanan dan sentuhan yang menjadikan kawalan lebih responsif. Tekan sekali, aplikasi kamera terus terbuka dan gambar boleh diambil, manakala jika ditekan lama, rakaman video bermula.
Kawalan jari untuk zum juga terasa lebih lancar berbanding kawalan biasa pada skrin sentuh, menjadikan pengalaman merakam lebih mudah dan semula jadi. Ciri ini turut mengingatkan saya kepada butang kamera pada peranti Apple dan Oppo Find X yang pernah saya cuba sebelum ini, kerana rasa penggunaannya hampir serupa dari segi kawalan dan respons.

Pun begitu, pengalaman menekan butang ini bagi saya agak bercampur. Kedudukannya memang selesa tetapi rasa tekanannya sedikit nipis sehingga kadang-kadang terasa seperti tidak benar-benar ditekan. Namun, pujian masih wajar diberikan kerana ia boleh digunakan dalam posisi menegak, sesuatu yang memberi kelebihan berbanding Oppo yang hanya menyokong penggunaan mendatar.
Dengan pilihan tambahan seperti gaya rakaman pula, prestasinya terasa lebih baik. Isu peralihan zum yang sebelum ini mendadak turut ditambah baik sekali gus menjadikan pengalaman penggunaan lebih baik berbanding pengalaman saya dengan 400 Lite tahun lalu.

Selain daripada AI Button, peranti ini turut dilengkapi dengan butang kuasa dan laras audio di bahagian sisi kanan. Bahagian kiri pula kosong, manakala di bahagian atas tidak terdapat sebarang komponen tambahan. Di bahagian bawah, terdapat slot SIM, port USB-C dan pembesar suara. Susun atur ini konsisten dengan kebanyakan model Honor termasuk 400 Lite sebelum ini. Ia memberi rasa yang biasa serta mudah digunakan tanpa menambah elemen yang boleh mengganggu pengalaman harian.

Dari segi sistem audio, peranti ini masih menggunakan pembesar suara mono di mana sesuatu yang memang dijangka untuk segmen pertengahan. Hasil bunyinya memadai untuk kegunaan asas seperti menonton kandungan atau mendengar audio biasa namun ia tidak menawarkan pengalaman audio yang mendalam. Sedikit komen mengenai prestasi cap jari yang didapati tidak konsisten dengan beberapa kali kegagalan imbasan berlaku. Jari perlu diletakkan dengan lebih tepat agar fungsi ini beroperasi dengan baik.

Tiadanya perubahan besar pada skrin di mana 600 Lite hadir dengan saiz 6.7 inci, hanya lebih sekitar 1 inci berbanding paparan 6.6 inci pada 400 Lite. Teknologinya juga hampir sama, menyokong resolusi 1080 x 2412 piksel (FHD+) untuk paparan yang terang dan tajam bersama kadar segar semula 120Hz. Warna yang dipaparkan kelihatan terang dan seragam untuk kandungan lebih menarik untuk dilihat.
Perkakasan Dalaman – Cip Mediatek Dimensity 7100
Honor 600 Lite hadir dengan cip Dimensity 7100 Elite, iaitu cip yang asalnya sama digunakan pada Infinix Note Edge selepas kemas kini perisian. Dari segi pengalaman, ia terasa lancar untuk tugasan harian seperti media sosial, permua ringan dan multitasking. Penggunaan Elite bukanlah membawa perubahan ketara, mungkin cuma diberikan sebagai penjenamaan tambahan.

Peranti ini lebih menekankan kelancaran operasi seharian berbanding tugasan berprestasi tinggi dengan sistem yang memberi tindak balassecara konsisten. Sokongan 5G turut menambah nilai dari segi kecekapan, sekaligus menjadikannya sesuai untuk konsep peranti kelas pertengahan.

Prestasi cip ini tidak mengecewakan, namun ia juga tidak membawa perubahan besar menjadikannya terasa berbeza. Fokusnya lebih kepada kestabilan, cukup memadai untuk kegunaan harian tetapi tidak memberi kelebihan luar biasa berbanding pesaing lain. Ringkasnya, penggunaan terasa lancar cuma jangan mengharapkan kejutan besar dari segi kuasa pemprosesan kerana ia lebih menekankan kelancaran yang konsisten.
- Infinix Note Edge – Dimensity 7100 (6nm)
- Oppo Reno15 – Snapdragon 7 Gen 4 (4nm)
- Oppo Reno14 Pro – Dimensity 8450 (4 nm)
- Honor 400 Pro – Snapdragon 8 Gen 3 (4 nm)
- Google Pixel 10 Pro XL – Tensor G5 (3 nm)
- Poco X7 Pro – Dimensity 8400 Ultra (4 nm)
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Honor 600 Lite | 726401 |
| Infinix Note Edge | 805,806 |
| Oppo Reno15 | 1,412,018 |
| vivo V70 | 1,464,284 |
| Honor 400 Pro | 1,861,573 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 1,214,735 |
| Poco X7 Pro | 1,590 533 |
Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Honor 600 Lite | 867 | 2660 |
| Infinix Note Edge | 972 | 2827 |
| Oppo Reno15 | 1280 | 3857 |
| Vivo V70 | 1224 | 6083 |
| Honor 400 Pro | 1224 | 6083 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2303 | 6134 |
| Poco X7 Pro | 1575 | 6121 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Honor 600 Lite | 2535 |
| Infinix Note Edge | 2513 |
| Oppo Reno15 | 2082 |
| Vivo V70 | 2093 |
| Honor 400 Pro | 4467 |
| Google Pixel 10 Pro XL | 2567 |
| Poco X7 Pro | 3839 |
Untuk tugasan harian seperti menatal media sosial atau bertukar antara aplikasi, peranti ini berfungsi dengan baik. Pertukaran aplikasi berjalan lancar walaupun beberapa aplikasi dibuka serentak. Dari segi permainan, prestasinya sederhana. Ia boleh digunakan untuk bermain, tetapi dengan jangkaan yang sederhana. Kelebihannya, saya boleh bermain untuk tempoh lama tanpa isu pemanasan melampau. Peranti memang terasa hangat selepas beberapa ketika namun tidak sampai ke tahap yang mengganggu.
Secara keseluruhan, cip Dimensity 7100 Elite pada 600 Lite menawarkan pengalaman yang stabil dan memadai untuk kegunaan harian. Ia bukan pilihan untuk mereka yang mencari prestasi gaming atau kuasa pemprosesan tinggi, tetapi lebih kepada kelancaran asas yang konsisten dengan penekanan pada kegunaan praktikal.
Perisian Dalaman – Honor Magic 10 (Berasaskan Android 16)
Pengalaman saya menggunakan MagicOS 10 pada 600 Lite terasa lebih matang berbanding sebelumnya. Sistem ini berasaskan Android 16 dengan antara muka yang ringkas serta mesra pengguna. Ia mudah digunakan tanpa rasa sarat, sekali gus memberi pengalaman yang lebih selesa dan konsisten untuk kegunaan harian.

Ini adalah pendapat berdasarkan pengalaman saya. Tidak semua orang mungkin serasi dengan sistem ini, namun bagi saya ia tidaklah sehingga menyusahkan. Tambahan pula, kebanyakan antara muka masa kini sebenarnya lebih kurang sama cuma bergantung pada kebiasaan masing-masing.
Integrasi AI dalam MagicOS 10 pada peranti ini menambah nilai kepada pengalaman harian. Fungsi seperti AI Screen Suggestions yang mencadangkan aplikasi atau tindakan selepas tangkapan skrin, AI Photos Agent untuk suntingan automatik, serta AI Settings Agent yang memudahkan kawalan tetapan menjadikan sistem lebih pintar dan praktikal.

Dari segi keselamatan, ciri AI Voice Cloning Detection untuk panggilan audio adalah tambahan yang menarik kerana ia jarang ditawarkan pada sistem lain. Kehadiran fungsi ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan pengguna tetapi juga menunjukkan bagaimana Honor cuba membezakan diri dalam segmen pertengahan dengan menekankan aspek AI dan keselamatan.

Fungsi AI pada 600 Lite turut memberi cadangan aplikasi berdasarkan senario dan tabiat penggunaan harian. Butang AI boleh digunakan untuk akses pantas ke beberapa ciri seperti kamera atau cadangan skrin. Selain itu, terdapat AI Memories yang membolehkan maklumat dikeluarkan terus dari skrin dengan menekan butang AI atau menggunakan gerakan tiga jari. Fungsi ini mengingatkan saya kepada AI Mind Space yang ditawarkan pada peranti Oppo, Realme dan OnePlus.

Magic Portal kini lebih mudah digunakan. Ia membolehkan pengguna membuat melingkar pada skrin untuk mengaktifkan portal atau menyeret kandungan seperti teks dan imej ke tepi skrin bagi akses pantas ke perkhidmatan tertentu. Fungsi ini terasa lebih matang dan praktikal berbanding versi awal yang pernah saya cuba pada Magic6 Pro.
Dalam penggunaan harian, terdapat juga beberapa ciri kecil yang menyeronokkan seperti Fun Shake dan Magic Screen Lock untuk interaksi skrin, OneTap Sharing bagi perkongsian pantas termasuk dengan peranti Apple, serta AI Assistant yang lebih peribadi dengan cadangan pintar.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Sepanjang pengalaman saya menggunakan 600 Lite, kamera utamanya mampu menghasilkan gambar yang tajam di bahagian tengah. Namun, ketajaman mula berkurang apabila sampai ke sudut sekeliling. Fungsi zum pula terasa kurang meyakinkan kerana hasil gambar tidak begitu jelas dan terdapat sedikit hingar.

Dari segi warna, imej yang dihasilkan kelihatan agak kusam serta kurang tepu, sedangkan model H400 Lite sebelum ini lebih menyerlah dalam aspek tersebut. Meskipun begitu, warna masih konsisten pada jarak 17mm dan 24mm tetapi mula berubah apabila mencapai 72mm ke atas. Sementara itu, lensa ultra-lebar tidak menunjukkan kesan lengkungan yang keterlaluan, menjadikan imej lebih seimbang dan mudah diterima.





Dalam mod potret, 600 Lite masih mampu mengekalkan tona kulit yang semula jadi tanpa kesan kecantikan berlebihan. Namun, warna kelihatan terlalu terang sehingga hasilnya lebih menonjol daripada biasa. Dari segi teknikal, pemisahan subjek daripada latar dilakukan dengan baik, walaupun terdapat sedikit kesan ‘chromatic aberration’ pada objek kecil tetapi ia tidak terlalu ketara. Sementara itu, kesan bokeh terasa agak kurang berbanding model sebelumnya.





Untuk penggambaran waktu malam, kelemahan lebih jelas kelihatan kerana ketajaman imej banyak hilang terutama apabila terdapat sumber cahaya seperti lampu. Hingar turut menjejaskan kualiti subjek tetapi isu blooming sudah berkurang berbanding sebelum ini yang dilihat memberikan sedikit peningkatan pada hasil keseluruhan. Boleh dikatakan pengalaman kamera dalam mod potret dan malam terasa sederhana tetapi masih praktikal dengan beberapa penambahbaikan kecil tersebut.




Dari segi fungsi AI, pengalaman terasa pantas dan kemas. Proses berjalan dengan lancar dan hasil yang diberikan cukup memadai untuk kegunaan asas harian. Bagaimanapun, seperti yang pernah ditegaskan oleh ketua kandungan saya bahawa teknologi AI dalam fotografi memang menarik tetapi tidak semestinya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pengguna.
Oleh itu, meskipun AI memberi nilai tambah, ia bukanlah faktor utama yang menentukan pengalaman kamera bagi kebanyakan orang. Sebaliknya, ia lebih kepada ciri tambahan yang membantu tetapi bukan sesuatu yang mengubah keseluruhan pengalaman penggunaan.







Dari segi pengalaman penggunaan aplikasi kamera, saya mendapati terdapat sedikit lengah masa ketika proses pasca rakaman dan peralihan mod kamera juga terasa agak lambat, terutama dalam mod potret. Walaupun begitu, secara keseluruhan kamera 600 Lite masih sesuai untuk kegunaan harian dengan hasil yang memuaskan.
Dalam masa sama, terdapat juga beberapa kompromi yang perlu diterima khususnya pada aspek zum, penghasilan warna, dan prestasi ketika penggambaran malam. Justeru itu, kamera ini lebih sesuai untuk pengguna yang mengutamakan pengalaman asas yang konsisten tanpa terlalu bergantung pada fungsi tambahan seperti AI.
Bateri Dan Pengecasan
Dalam penggunaan harian, 600 Lite mampu bertahan sehingga sehari penuh malah lebih lama digunakan secara berkala. Berdasarkan pengalaman saya sendiri, peranti mencatat sekitar 8 jam SOT dan pernah sekali mencapai 8 jam 46 minit dengan baki bateri 30%. Angka ini sudah memadai untuk kebanyakan pengguna aktif namun ia menunjukkan bahawa ketahanan bateri sangat bergantung kepada corak penggunaan masing-masing.
Dari segi pengecasan, peranti ini menyokong 45W Fast Charging. Walaupun bukan yang terpantas di pasaran, ia boleh dianggap sebagai standard bagi kebanyakan jenama dalam segmen pertengahan dan sudah cukup memadai. Kapasiti bateri 6520mAh pada peranti ini juga lebih besar berbanding model 400 Lite untuk menjadikannya lebih praktikal untuk penggunaan seharian.
Kesimpulan
Kesimpulannya, 600 Lite ialah sebuah telefon pertengahan yang menawarkan pengalaman penggunaan yang konsisten dan selesa. Reka bentuknya ringan tetapi kukuh dengan rasa ergonomik yang mengingatkan kepada model 400 Lite cuma terdapat sedikit penambahbaikan dari segi kemasan dan rasa genggaman. Ia mengekalkan keseimbangan antara prestasi asas, ketahanan bateri yang baik, serta ciri tambahan seperti AI yang membantu tetapi tidak mendominasi keseluruhan pengalaman.

Kehadiran AI Button memberi nilai tambah kerana ia menawarkan kawalan kamera yang lebih fleksibel walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki. Dari sudut prestasi pula, cip Dimensity 7100 memastikan penggunaan harian berjalan lancar. Namun begitu, ia tidak membawa lonjakan besar berbanding pesaing lain sebaliknya lebih kepada mengekalkan kestabilan.
Telefon ini sesuai untuk pengguna yang mahukan peranti harian yang stabil dan mudah digunakan serta mereka yang menghargai sistem operasi moden dengan ciri AI pintar. Ia relevan untuk peminat fotografi kasual yang hanya perlukan kamera asas dengan hasil yang konsisten. Sebaliknya, ia dirasakan kurang sesuai untuk mereka yang mencari kamera ultra-lebar atau sistem zum berkualiti tinggi serta pengguna yang mahukan prestasi cip lebih berkuasa.
Kelebihan
- Reka bentuk ringan, kukuh dan selesa digenggam.
- Bateri besar 6520mAh dengan pengecasan pantas 45W.
- Skrin 6.7 inci FHD+ 120Hz dengan paparan terang dan tajam.
- Kehadiran AI Button untuk kawalan kamera lebih fleksibel.
- Cip Mediatek Dimensity 7100 stabil untuk penggunaan harian.
- Kamera sesuai untuk fotografi kasual dengan hasil konsisten.
Kelemahan
- Kamera malam sederhana, hingar masih ketara.
- Tiada kamera ultra-lebar atau sistem zum berkualiti tinggi.
- Prestasi cip tidak cukup berkuasa untuk permainan berat.
- Audio kurang mendalam berbanding pesaing.
- Sedikit lengah masa ketika pasca rakaman dan peralihan mod kamera.
