Dron 360 Darjah Antigravity A1 Dengan Rakaman 8K Kini Di Malaysia – Harga Bermula RM6099
Amy Maizuraa
Antigravity A1 dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini yang menjadikannya dron 360 darjah pertama di dunia dengan kamera terbina yang mampu merakam video sehingga 8K.


Sebagai anak syarikat kepada Insta360, teknologi kamera daripada syarikat induk digunakan pada dron ini bagi memastikan rakaman yang dihasilkan berkualiti tinggi. Dengan berat 249g, ia bukan sahaja mudah dibawa malah turut mematuhi kebanyakan peraturan penerbangan dron di pelbagai negara.


Antigravity A1 hadir dengan kawalan FreeMotion yang membolehkan pengguna hanya menunjuk arah untuk terbang untuk menjadikannya mesra untuk pemula. Pada masa sama, ia dilengkapi dengan dua kamera di bahagian atas dan bawah tubuh dron bagi memastikan rakaman penuh dari setiap sudut.

Kamera terbina ini dilengkapi dengan sensor 1/1.28 inci yang berupaya menghasilkan imej sehingga 55MP serta rakaman video 8K. Ia juga hadir dengan fungsi pintar seperti Fly First, Frame Later dan Sky Genie.
Menariknya, Sky Genie membolehkan pengguna melakukan gerakan yang biasanya memerlukan kemahiran juruterbang profesional namun dapat dicapai dalam beberapa saat sahaja.


Dengan hanya satu sentuhan, Antigravity A1 mampu melakukan gerakan kompleks 360 darjah seperti Orbit, Spiral dan Comet sekali gus menghasilkan rakaman sinematik secara segera. Selain itu, sistem pengesan halangan 360 darjah turut disertakan bagi menambah lapisan keselamatan semasa penerbangan.

Antigravity A1 turut menawarkan mod FPV untuk mereka yang mahukan kawalan lebih tepat. Keunikan dron terletak pada gabungan set kepala dan alat kawalan yang boleh menghasilkan pengalaman penerbangan lebih menyeluruh.
Vision Goggles memberikan pengalaman penerbangan imersif sepenuhnya dalam 360 darjah manakala sistem transmisi OmniLink 360 menyokong jarak sehingga 10km dengan latensi rendah untuk kawalan lebih menyeronokkan.
Selain itu, teknologi Insta360 digunakan untuk menggabungkan rakaman daripada kedua-dua kamera menjadi satu video tunggal dengan resolusi 8K untuk memastikan hasil rakaman lebih berkualiti tinggi.

Alat kawalan Antigravity Grip pula berbeza daripada alat kawalan dron standard kerana lebih menyerupai kayu kawalan kapal terbang, dengan pergerakan dilakukan melalui gestur tangan.
Untuk terbang ke atas, pengguna hanya perlu mengangkat Grip manakala untuk bergerak ke kiri atau kanan cukup dengan memutarkan pergelangan tangan.
Dari segi prestasi, AntiGravity A1 menawarkan masa penerbangan sehingga 24 minit dengan bateri standard atau 39 minit dengan bateri berkapasiti tinggi.

Antigravity A1 ditawarkan di Malaysia dalam tiga pilihan pakej dengan harga bermula RM6,099 bagi Standard Bundle, RM6,999 bagi Explorer Bundle dan RM7,499 bagi Infinity Bundle.
Sebagai promosi pengenalan, ia boleh dibeli pada harga istimewa dengan potongan 20%, iaitu RM4,879 (Standard Bundle), RM5,599 (Explorer Bundle) dan RM5,999 (Infinity Bundle).


Semua pakej Antigravity A1 hadir dengan sistem penerbangan lengkap yang terdiri daripada dron, Vision Goggles dan pengawal gerakan Grip, manakala perbezaannya terletak pada jumlah aksesori yang disertakan.
Standard Bundle menyediakan satu bateri penerbangan, satu bateri Vision untuk Goggles, kipas gantian, bekas simpanan, bingkai kanta pembetulan serta kabel, tali dan manual asas.

Pakej yang lebih tinggi seperti Explorer dan Infinity Bundle pula menambah bilangan bateri, aksesori tambahan serta kelengkapan premium sekali gus memberikan pengalaman penerbangan yang lebih menyeluruh dan praktikal.