Horizon Worlds VR Tidak Lagi Boleh Diakses Menggunakan Meta Quest Bermula Jun
Effi Saharudin
Metamesta kini secara rasmi bukan lagi masa depan Meta selepas syarikat mengumumkan akses dunia realiti maya (VR) Horizon Worlds tidak lagi boleh dilakukan menggunakan set kepala Meta Quest bermula 15 Jun 2026. Bermula 31 Mac depan, dunia Horizon Worlds tidak lagi disenaraikan dalam Quest Store. Pengguna pula tidak boleh melawat lokasi seperti Horizon Central, Events Arena, Kaiju, dan Bobber Bay.

Pada 15 Jun 2026 aplikasi Horizon Worlds akan dibuang sepenuhnya daripada Quest. Bagi pengguna yang masih ingin mengakses Horizon Worlds, ia hanya boleh dilakukan menerusi aplikasi Android dan iOS sahaja selepas ini. Masa depan Horizon Worlds dan Meta Quest mula nampak kelam selepas Meta menutup beberapa studio pembangunan permainan VR dan membuang pekerja Meta Reality Labs.
Tiada pengumuman mengenai Meta Quest baharu dengan tumpuan diberikan hanya kepada pembangunan cermin mata pintar sahaja sejak setahun kebelakangan ini. Ia adalah keputusan yang tidak disangka bagi sebuah syarikat yang sebelum ini mengubah nama daripada Facebook ke Meta kerana percaya ia adalah hala tuju masa depan mereka dan puluhan bilion dibelanjakan.