Kakitangan Super Micro Computer Didakwa Di Amerika Syarikat Kerana Menyeludup Cip AI Ke China
Effi Saharudin
Tiga individu yang mempunyai perkaitan dengan Super Micro Computer Inc didakwa oleh Jabatan Kehakiman AS kerana membantu menyeludup teknologi AI bernilai sekurang-kurangnya $2.5 bilion ke China.
ih‑Shyan Liaw yang merupakan pengasas bersama Super Micro, Ruei‑Tsang Chang pengurus jualan di pejabat Taiwan dan Ting‑Wei Sun seorang kontraktor didakwa terlibat dalam penyeludupan bagi memintas halangan teknologi yang dikenakan Amerika ke atas China. Setakat ini hanya Liaw dan Sun sudah ditangkap manakala Chang masih diburu.

Untuk menyeludup, pelayar komputer buatan Amerika dihantar ke Taiwan sebelum kemudiannya dihantar ke negara Asia Tenggara. Di sana mesin pelayar ditukar ke dalam kotak tanpa label dan dihantar ke China. Label dan nombor siri daripada mesin sebenar dipindahkan ke mesin dami untuk mengaburi pihak berkuasa.
Super Micro tidak dinamakan sebagai defendan dan berkata ia telah bekerjasama dengan penyiasat. Syarikat meletakkan Liaw dan Chang cuti bergaji, dan menamatkan kontrak Sun. DOJ tidak menyatakan cip mana yang terlibat, tetapi Nvidia mendominasi pasaran cip AI berkuasa tinggi.
Kes ini mempunyai hubung kait dengan sindiket penyeludupan kelengkapan AI dari Singapura ke China menerusi Johor tahun lalu sehingga MITI telah mewajibkan permit untuk mengeksport dan transit cip dari Amerika Syarikat.
[sumber] Reuters [/sumber]