OnePlus Mungkin Menutup Operasi Global Seawal April
Effi Saharudin
OnePlus sekali lagi dijangka menutup operasi di beberapa pasaran global seawal April 2026. Menurut laporan 9to5Google, OnePlus akan mengalihkan tumpuan kepada pasaran China sementara India hanya akan menjadi pasaran peranti mampu milik mereka sahaja selepas ini. Ini kali kedua operasi global OnePlus dilaporkan akan ditutup yang telah dinafikan oleh CEO OnePlus India, Robin Liu pada Januari lalu.

Yang menjadikan spekulasi kembali hangat diperkatakan ialah Robin Liu kini telah meletakkan jawatan dan kembali semula ke China. OnePlus sudahpun mengurangkan kakitangan global di Eropah dan Amerika Syarikat sejak setahun lalu. Kembalinya Pete Lau ke Oppo menjadi satu lagi petanda OnePlus kini kembali menjadi subjenama sama seperti yang dialami oleh Realme.
Antara faktor yang menyebabkan OnePlus menarik diri daripada pasaran global ialah krisis kekurangan RAM dan cip memori yang menyebabkan pengeluaran peranti akan berkurangan tahun ini. ASUS sudahpun mengesahkan tiada peranti baharu tahun ini. Malahan terdapat ramalan syarikat pengeluar kecil mungkin pupus disebabkan oleh kos tinggi menyebabkan produk tidak boleh dikeluarkan tanpa menanggung kerugian.