Volkswagen Bincang Mengubahsuai Kilang Kereta Menjadi Kilang Senjata Israel
Effi Saharudin
Volkswagen sedang melakukan perbincangan dengan syarikat senjata Rafael Advanced Defence System bagi membina sistem pertahan udara Iron Dome untuk Israel. Menurut laporan Financial Times, kilang VW di Osnabrück bakal diubahsuai daripada pengeluaran kereta untuk mengeluar sistem yan menangkis peluru berpandu Iran yang boleh dilihat di media sosial.
Kilang Osnabrück mempunyai 2,300 pekerja dan menerusi perjanjian ini kesemuanya akan dikekalkan. Kerajaan Jerman dipercayai menyokong cadangan tersebut dengan pengeluaran senjata boleh dimulakan dalam tempoh 12–18 bulan. Selain digunakan oleh Israel, VW dan Rafael turut ingin memasarkan Iron Dome kepada pelanggan di Eropah.

Ini bukan kali pertama Volkwagen mengubah kilang kenderaan menjadi kilang senjata. Semasa Perang Dunia Kedua, Volkwagen menghasilkan kereta 4×4 Kubelwagen untuk kegunaan askar Nazi. Kilang di Wolfsburg pula membaiki pesawat pengebom Junkers Ju88 bombers, enjin kapal terbang BMW dan komponen roket V-1.
Tahun lalu Volkwagen menutup kilang pengeluaran kereta mereka yang terletak di Dresden, Jerman dengan ia akan diubahsuai menjadi hab pembangunan kecerdasan buatan (AI), robotik dan kajian rekaan cip. Kilang yang dibuka pada tahun 2001 itu adalah kilang tempatan pertama ditutup VW dalam tempoh 88 tahun.
Langkah yang diambil VW sememangnya tidak mengejutkan kerana pengeluar kenderaan Barat berhadapan krisis tidak mampu bersaing dengan kenderaan elektrik (EV) yang diimport dari China. Antara isu dihadapi VW ialah perisian kenderaan yang tidak lancar, kurangnya fungsi inovatif dan harga EV China yang jauh lebih mahal.