Sony dan Honda Hentikan Pembangunan EV AFEELA
Effi Saharudin
Sony Honda Mobility secara rasmi membatalkan pembangunan kereta elektrik AFEELA 1 dan sebuah lagi model AFEELA hari ini. Keputusan Honda mengubah strategi EV mereka dengan membatalkan pembangunan Honda 0 SUV, Honda 0 Saloon dan Acura RSX menyebabkan kerjasama Sony serta Honda dalam Sony Honda Mobility sukar untuk diteruskan. Honda bertanggungjawab terhadap pengeluaran kenderaan, jadi perubahan strateginya memberi kesan langsung kepada kelangsungan projek.

Tidak banyak maklumat mengenai spesifikasi AFEELA 1 dikongsi oleh Sony walaupun projek telah dibangunkan sejak 2020 di bawah konsep Sony Vision-S. Mereka sekadar mengatakan setiap kenderaan dilengkapi 40 sensor, hadir dengan kemampuan pemprosesan 800 TOPS dan akan menggunakan rangkaian pengecasan Tesla Supercharging.
Ia turut hadir dengan AFEELA Intelligent Drive yang memberikan kemampuan swapandu Tahap 2 dan juga ADAS. Sistem hiburan menyokong Amazon Music, Audible dan Spotify. Sementara itu sistem grafik dalam dan bunyi kenderaan dibangunkan oleh Polyphony Digital yang membangunkan permainan video Gran Turismo.

AFEELA 1 Origin dijual pada harga $89.900 (~RM 356,453) dan AFEELA 1 Signature $102,900 (~RM 407,998) sebuah. Signature pada asalnya dijangka tiba ke tangan pembeli pada pertengahan tahun 2026 sementara Origin pula bermula 2027.
Sony Honda Mobility mengesahkan pelanggan yang melakukan tempahan AFEELA 1 akan menerima pulangan wang sepenuhnya. Sony Honda Mobility akan meneruskan perbincangan dengan Sony dan Honda mengenai rancangan perniagaan masa depannya.