Nokia Akan Membuang Lebih 14,000 Pekerja
Effi Saharudin
Gergasi telekomunikasi Finland, Nokia sedang merancang membuang 20% tenaga kerja atau bersamaan lebih 14,000 pekerja mereka menurut laporan Times of India. Langkah drastik ini =adalah sebahagian daripada penstrukturan berfasa untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan keuntungan menjelang 2026.

Faktor utama bukan kerana penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang sering digunakan sebagai alasan pembuangan pekerja. Sebaliknya permintaan 5G yang lemah, pelancaran rangkaian yang perlahan, dan persaingan sengit dalam sektor telekomunikasi menjadi sebab utama.
Tahun lalu CEO Justin Hotard mengumumkan Nokia akan dipisahkan kepada perniagaan infrastruktur rangkaian yang menawarkan perkhidmatan AI serta pusat data sementara perniagaan operasi rangkaian telekom akan menjadi unit infrastruktur mudah alih. Nokia Defense turut dilancarkan dengan ia menawarkan teknologi rangkaian dan mudah Nokia untuk perkhidmatan gred ketenteraan. Perniagaan bukan teras pula sedang dikaji semula untuk potensi penjualan bagi memperkemas fokus syarikat.
Tidak seperti lebih dua dekad lalu, Nokia kini bukan lagi nama besar dalam arena telefon pintar. Sejak tahun lalu tiada lagi telefon pintar Nokia dikeluarkan dengan jenama sedang mencari rakan pelesenan baharu. Pada waktu yang sama pasaran kelengkapan komunikasi mereka telah mula diambil oleh Huawei dan Ericsson.