Tempahan Awal Siri Realme 16 Pro Dibuka Di Malaysia Dengan Deposit RM20
Amy Maizuraa
Seperti yang diketahui, siri Realme 16 Pro bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Bagi mereka yang ingin membuat pratempahan lebih awal, boleh berbuat demikian dengan meletakkan deposit sebanyak RM20 sehingga 10 April 2026. Sebagai tambahan, pelanggan akan menerima hadiah menarik bernilai RM897 yang merangkumi seutas Smart Band, rebat RM100, waranti tambahan selama setahun serta waranti skrin retak selama setahun.

Dua model yang akan dilancarkan kelak ialah realme 16 Pro+ dan realme 16 Pro. Menariknya, siri kali ini sekali lagi menampilkan sentuhan rekaan daripada Naoto Fukasawa yang memberikan kemasan premium pada peranti. Siri Realme 16 Pro dikatakan hadir dengan kamera utama 200MP berteknologi LumaColor yang diperakui TÜV Rheinland serta kemampuan telefoto 3.5x.
Selebihnya spesifikasi masih belum didedahkan, namun dijangka hampir sama dengan model yang telah diperkenalkan di India sebelum ini. Dalam masa yang sama, realme turut menjanjikan harga jualan siri ini akan berada di bawah RM2500 yang menjadikannya antara pilihan menarik dalam segmen pertengahan premium.