Indonesia Menghalang Individu Bawah Umur 16 Tahun Menggunakan Media Sosial
Amy Maizuraa
Indonesia melaksanakan larangan penggunaan media sosial untuk individu bawah 16 tahun. Langkah ini mengikuti jejak Australia pada Disember 2025 sekali gus menjadikannya antara negara Asia terawal yang memperkenalkan kawalan sebegini ketika negara lain masih berusaha memperketatkan kandungan berbahaya dalam talian.
Larangan ini telah mula berkuat kuasa sejak 28 Mac lalu dengan alasan ancaman pornografi dalam talian dan ketagihan internet dalam kalangan kanak-kanak semakin meningkat.

Apa yang difahamkan, peraturan baharu ini bukanlah larangan mutlak terhadap semua akaun kanak-kanak. Sebaliknya, ia menyasarkan platform berisiko tinggi seperti YouTube, TikTok, Instagram, Facebook, X dan Roblox yang diwajibkan menyekat pengguna bawah 16 tahun termasuk memadam atau menutup akaun mereka.

Sementara itu, perkhidmatan yang dianggap berisiko rendah masih boleh digunakan tetapi memerlukan perlindungan lebih ketat seperti kawalan ibu bapa serta had penjejakan lokasi dan pengumpulan data. Namun, pihak berkuasa tidak pula menyenaraikan secara terperinci aplikasi atau perkhidmatan ringan yang dimaksudkan.
Sebagai maklum balas terhadap peraturan baharu ini, beberapa platform termasuk X, Bigo Live, TikTok dan Roblox dilaporkan telah mula mematuhi dengan melaraskan had umur minimum pengguna. Meta pula menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan berkesan dan akan terus berunding dengan pihak berwajib.
Dalam pada itu, YouTube Indonesia turut menegaskan sokongan terhadap pendekatan berasaskan risiko bukan larangan mutlak sebagai langkah menyeimbangkan keselamatan pengguna muda dengan akses kepada kandungan yang sesuai.

Indonesia menegaskan bahawa tidak akan ada tolak ansur terhadap pematuhan peraturan baharu ini. Semua platform yang beroperasi di negara tersebut diwajibkan mematuhi undang-undang ditetapkan. Pihak yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan sekatan termasuk sekatan penggunaan dan diwajibkan menjalankan penilaian keselamatan kanak-kanak selewat-lewatnya menjelang Jun.
[sumber] Beritaharian.sg [/sumber]