Perkhidmatan Sewa Cermin Mata Pintar Untuk Menipu Peperiksaan Ditawarkan Di China
Effi Saharudin
Dalam karya sains fiksyen distopia, teknologi digunakan pihak berkuasa untuk menindas menerusi sistem pengecaman wajah dan kredit sosial. Ramai memandang ke China untuk melihat ramalan menjadi kenyataan sepertimana dunia memandang ke Jepun untuk masa depan cyberpunk di dekad 80an. Tetapi di China teknologi kini digunakan untuk menipu dalam peperiksaan.

Menurut laporan Rest of The World, perkhidmatan menyewa cermin mata pintar ditawarkan di China untuk membantu pelajar menjawab soalan peperiksaan Bahasa Inggeris dan Matematik. Cermin mata pintar keluaran Meta, Rokid dan Ali Baba boleh disewa pada kadar $6-$12 sahaja sehari.
Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk mengelat mula menjadi isu sejak beberapa tahun lalu. Tahun lalu Bytedance, Tencent, DeepSeek dan Ali Baba menggantung sementara chatbot AI mereka semasa peperiksaan gaokao untuk memasuki universiti berlangsung bagi mengelakkan penipuan.
Di Amerika Syarikat pula sudah ada beberapa syarikat kembali melakukan temuramah pekerja secara sua muka bagi memastikan mereka tidak menggunakan AI untuk menjawab soalan diberikan.