Dyson Clean+Wash Hygiene Dijual Di Malaysia Pada Harga RM2499
Amy Maizuraa
Dyson telah melancarkan hampagas baharu Clean+Wash Hygiene di Malaysia. Ia merupakan pembersih lantai basah dan kering yang mampu menghilangkan kotoran kering serta basah secara serentak sambil mengekalkan sistem pembersihan diri yang efisien.

Dyson Clean+Wash Hygiene menggunakan roller serapan yang mampu menangkap kotoran kering dan basah dalam satu laluan. Benang halus khas pada roller membantu membuang kotoran manakala sistem penyerapan menyedut cecair dengan cepat sehingga lantai hampir kering dalam masa satu minit.

Roller ini dipadatkan dengan kira-kira 84,000 serat halus dalam setiap sentimeter persegi serta berus nilon yang direka untuk menyingkirkan bulu haiwan peliharaan walaupun dalam keadaan basah. Selain itu, sistem tanpa penapis yang digunakan mengasingkan kotoran basah dan kering secara terus sekali gus mencegah pembiakan bakteria serta bau tidak menyenangkan.
Teknologi roller yang digunakan mampu berputar pada kelajuan 250 RPM untuk menyingkirkan kotoran. Sistem serapan yang kuat pula menyedut cecair buangan dengan pantas bagi memastikan lantai sentiasa bersih tanpa meninggalkan kesan calar. Selain itu, reka bentuknya yang ringan dengan berat 3.82kg serta ketebalan 113mm menjadikannya mudah digunakan termasuk di bawah perabot rendah.

Mekanisme pembersihan diri Dyson Clean+Wash Hygiene menggunakan sistem pemerah yang mampu menyingkirkan kotoran serta rambut tanpa kusut. Pada masa yang sama, 12 titik hidrasi membekalkan air bersih ke roller untuk memastikan setiap bahagian lantai dicuci sebaiknya. Mod pembersihan automatik pula mengalirkan air bersih dan mengeringkan roller dengan udara panas 85°C sekali gus menghalang pembiakan bakteria dan bau.
Tangki air bersih berkapasiti 750mL mampu membersihkan sehingga 350m² lantai manakala fungsi pembersihan tepi tiga sisi memastikan kotoran di sepanjang dinding turut dibersihkan dengan lebih menyeluruh. Air kotor dan sisa pula dipisahkan secara terus menjadikan proses pelupusan lebih bersih tanpa meninggalkan kekotoran.
Di Malaysia, Dyson Clean+Wash Hygiene ditawarkan pada harga jualan RM2,499.