TuneTalk Kini Mempunyai Lebih 1 Juta Pengguna Aplikasi Yang Mengakses Kandungan Drama Dan Permainan
Aman
TuneTalk, salah satu syarikat telekomunikasi tempatan, telah melakukan perubahan pada penawaran, dan membuka aplikasi mereka kepada semua sejak Mei 2025 lepas. Melalui perubahan pada aplikasi, TuneTalk menambah hab hiburan dan kandungan terus pada aplikasi mereka.

Dua kategori kandungan yang menjadi fokus adalah drama pendek dan juga permainan video kasual. Sejak diperkenalkan, kedua-duanya telah menarik angka pengguna tinggi, dan tidak terhad kepada pelanggan TuneTalk sahaja. Berkongsi mengenainya hari ini, TuneTalk menyatakan mereka kini mempunyai lebih 1 juta pengguna yang menggunakan hab kandungan berkenaan. Untuk makluman, angka ini adalah berbeza dengan jumlah pelanggan perkhidmatan telekomunikasi mereka yang kini seramai 1.8 juta pelanggan.

Pada masa yang sama, pengguna dilihat menghabiskan antara 36 minit ke 38 minit sehari dalam menggunakan hab kandungan berkenaan – sekaligus menjadikan ia aplikasi yang digunakan aktif setiap hari dalam kehidupan harian.

TuneTalk menjana pendapatan hasil kerjasama dengan penyedia kandungan, melalui langganan tambahan untuk mengakses kandungan, selain paparan iklan. Menyentuh mengenainya juga, CEO TuneTalk menyatakan mereka menyasarkan pendapatan daripada aplikasi dan perniagaan kandungan ini mungkin sekitar 10% bergerak ke hadapan, dengan sasaran terus meningkatkannya dari tahun ke tahun.