Kapsul Angkasa Integrity Artemis II Memulakan Perjalanan 4 Hari Ke Bulan
Effi Saharudin
Sehari selepas Misi Artemis II dilancarkan dari Cape Canaveral, Florida – kapsul angkasa lepas Integrity telah memulakan perjalanan selama empat hari ke bulan. Proses suntikan translunar (TLI) telah dilakukan pada jam 7:49 pagi tadi dengan roket tujahan dihidupkan selama 5 minit 50 saat. Ini akan membolehkan Integrity mencapai halaju melepasi graviti bumi dan meneruskan perjalanan ke bulan seperti yang dirancang.

Keputusan meneruskan misi ke fasa TLI hanya diterima lewat semalam selepas kesemua sistem penting Integrity melepasi ujian. Di peringkat awal, kipas pengudaraan tandas kapsul angkasa didapati tidak berfungsi dengan ia mengambil masa empat jam sebelum berjaya dibaiki.

TLI akan memberikan Integrity tenaga secukupnya untuk perjalanan ke bulan, terbang ke sisi jauh bulan sebelum graviti bulan digunakan untuk kembali semula ke bumi. Perjalanan kembali ke bumi juga akan mengambil masa 4 hari. Sekiranya semua berjalan lancar, Integrity dan empat krew yang dibawa akan menjadi manusia pertama mengelilingi bulan sejak 1972.
Artemis II pula akan mencatatkan rekod baharu perjalanan paling jauh daripada bumi dilakukan manusia, serta membawa wanita pertama, individu bukan kulit putih dan krew bukan NASA pertama mengelilingi bulan. Krew dijadualkan mendarat semula ke bumi di Lautan Pasifik pada 11 April depan.