Ujian Pengeluaran iPhone Ultra Telah Dimulakan Untuk Pelancaran Tahun Ini
Effi Saharudin
Telefon lipat pertama Apple dipercayai akan menggunakan nama iPhone Ultra kini dilaporkan sedang menjalani proses ujian pengeluaran dengan sasaran ia akan mula dijual tahun ini. Menurut maklumat yang tertiris menerusi China, ujian ini akan mengenalpasti isu yang wujud dengan peranti apabila ia mula dipasarkan kelak.
Adalah dijangka iPhone Ultra akan diumumkan bersama iPhone 18 dan iPhone 18 Pro pada bulan September depan. Apple sudah lama dikhabarkan ingin melancarkan iPhone lipat yang apabila dibuka menjadi sebuah tablet sebesar iPad Mini.

Isu peranti tebal dan skrin mempunyai garisan menyebabkan Apple menanti untuk isu-isu ini diselesaikan. Kita sudah melihat tahun ini Oppo Find N6 dan Honor Magic V6 kedua-duanya dilancarkan dengan skrin tanpa kesan lipat dan tubuh nipis.
Berdasarkan maklumat sebelum ini, iPhone Ultra mungkin hadir dengan skrin luar 5.5″ dan skrin dalam pula sebesar 7.8″. Skrin dalam akan mempunyai nisbah 4:3 dengan tubuh pula hanya setebal 4.5mm apabila dibuka. Kerana ia peranti generasi pertama, dikhabarkan iPhone Fold akan hanya dilengkapi dwi-kamera. Bonggol kamera adalah mirip digunakan pada iPhone Air.
Sementara itu dalam laporan Nikkei Asia pula, Apple sudahpun menemukan beberapa isu dengan peranti pengeluaran awal. Ini mungkin akan menyebabkan iPhone Ultra hanya dijual bermula Disember 2026 bagi menyelesaikan isu yang timbul terlebih dahulu.
[sumber] MacRumors [/sumber]