Amazon Menamatkan Sokongan Untuk Sejumlah Peranti Kindle Diperkenalkan Sebelum 2012
Aman
Amazon kini dalam perancangan untuk menamatkan sokongan untuk sejumlah peranti Kindle yang telah diperkenalkan sebelum 2012, sekaligus membuatkan peranti berkenaan tidak lagi boleh mengakses Kindle Store. Langkah ini secara tidak langsung turut membuatkan pengguna peranti Kindle berkenaan tidak boleh memuatkan kandungan baharu.
Kindle merupakan pembaca buku digital yang telah ditawarkan oleh Amazon, dan hadir dalam sejumlah variasi. Melalui notis yang telah mula dihantar oleh Amazon, mereka menetapkan tarikh penamatan sokongan ini pada 20 Mei 2026, dan melibatkan peranti Kindle generasi pertama, Kindle generasi kedua, Kindle DX, Kindle DX Graphite, Kindle Keyboard, Kindle 4, Kindle 5, Kindle Touch dan Kindle Paperwhite 1.
Selepas 20 Mei 2026, pengguna masih boleh membaca kandungan yang telah dimuat-turun. Walaubagaimanapun, salah satu masalah yang akan dihadapi adalah sekiranya anda memilih untuk nyah-daftar peranti atau menetapkan semula peranti, maka ia tidak boleh didaftar kembali selepas tarikh 20 Mei 2026.
Di Malaysia, walaupun Kindle tidak ditawarkan secara rasmi, namun terdapat beberapa penjual yang menawarkan set import kepada pengguna tempatan. Selain Kindle, salah satu jenama alternatif yang kian meningkat popular kebelakangan ini juga adalah Boox, memfokuskan kepada pembacaan buku digital, selain Kobo.
Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.