Sony Umumkan Teknologi True RGB Mini LED Untuk Bersaing Dengan OLED
Effi Saharudin
Panel TV manakah yang menawarkan kualiti visual paling agung? Kalau anda bertanya kepada saya, jawapannya ialah OLED. Tetapi TV OLED harganya mahal dan untuk panel lebih besar ia berharga lebih mahal daripada sebuah kereta. Minggu ini Sony memperlihatkan teknologi panel TV baharu Sony True RGB yang menurut mereka menawarkan warna paling tepat untuk bersaing dengan panel OLED.

True RGB duduk di bawah payung teknologi Mini LED. Berbeza dengan panel Mini LED pengeluar TV yang lain, True RGB menggunakan tiga diod merah, hijau, biru untuk memaparkan warna lebih tepat. Pada TV lain, hanya dua dio iaitu biru dan hijau digunakan. Penuras pada skrin Mini LED kemudiannya digunakan untuk menghasilkan warna yang dikehendaki.
Hasilnya menurut Sony, True RGB menawarkan ketepatan warna, kecerahan konsisten (tanpa blooming), dan prestasi stabil pada pelbagai sudut TV ditonton. Untuk merealisasikan teknologi ini, jarak antara LED Sony ialah sekitar 1 cm, dengan setiap diod bersaiz beberapa ratus mikrometer. Setiap satunya dikawal oleh pemproses yang memastikan warna sentiasa tepat.
Sony mengacah TV pertama True RGB akan ke pasaran pada musim bunga. Yang pasti dengan teknologi Mini LED, TV dengan panel besar, dengan ketepatan warna sebaik OLED tetapi pada harga lebih baik serta keterangan lebih tinggi akan berjaya dicapai tanpa isu burn in.