X Perkenal Ciri Suntingan Gambar Dengan Grok dan Alih Bahasa Automatik
Effi Saharudin
Semalam aplikasi X telah dikemaskini membawakan dua lagi ciri baharu. Pertama sekali ialah ciri lebih banyak suntingan gambar untuk pengguna. Ia boleh mengaburkan bahagian tertentu gambar bagi memadam maklumat sulit dan ciri suntingan gambar secara natif menggunakan Grok.

Dengan ini pengguna boleh meminta Grok mengubah gambar yang ingin dimuat naik terus dari dalam mod suntingan gambar dan bukannya dari skrin Grok seperti sebelum ini. Suntingan boleh dilakukan dengan memberikan Grok prom apakah yang ingin diubah. Pengguna X juga boleh menambah teks pada gambar sama seperti ciri yang disokong Instagram Stories sejak sekian lama.

Seterusnya ciapan di susur masa akan dialih bahasa secara automatik sekali lagi dengan bantuan Grok. Semalam kami sedari ramai merungut ciri ini diberikan secara mengejut dan secara lalai sehingga menimbulkan kekeliruan tiba-tiba susur masa X semuanya dalam Bahasa Melayu. Ia boleh dimatikan bagi mereka yang tidak mahu alih bahasa dilakukan secara automatik.
Kesemua ciri ini hanya diterima pengguna aplikasi X di iOS sahaja dengan versi Android akan diberikan di satu tarikh yang belum diumumkan.