Komen Di Instagram Kini Boleh Disunting Oleh Pengguna
Effi Saharudin
Pepatah Melayu menyebut ‘terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya’. Dalam dunia digital atas talian, tak ramai yang pernah terlajak perahu tetapi terlajak kata adalah normal kerana meninggalkan komen ketika sedang dipengaruhi emosi. Instagram hari ini memperkenalkan ciri menyunting komen yang ditinggalkan di platform mereka.

Komen boleh disunting tuan punya badan dalam masa 15 minit sahaja selepas di ditinggalkan. Komen boleh disunting tanpa had dalam tempoh masa suku jam tersebut. Pengguna lain boleh melihat komen telah disunting tetapi mesej asal tidak dapat dilihat seperti yang dilakukan di X.
Hanya teks komen sahaja boleh disunting. Sekiranya komen mengandungi teks dan imej, imej tidak boleh dibuang atau digantikan. Bagi mereka yang kerap terlajak kata, kini ada boleh menarik semula komen yang kurang sensitif dalam masa 15 minit. Tetapi ingat selepas tangkapan layar diambil dan disebarkan ke internet, ianya seperti kata Shidee, sayang semuanya sudah terlambat tak guna engkau kesalkan lagi.