Honor Win H9 Ialah Komputer Riba Gaming Pertama Dari Jenama Peranti Pintar Tersebut
Nazrin
Honor ialah sebuah jenama elektronik dari China yang cukup terkenal, dan menawarkan banyak pilihan peranti pintar yang hadir dari piilhan premium ke mampu-milik, dan juga aksesori-aksesori tambahan seperti fon telinga dan juga jam tangan pintar.
Honor juga dikenali untuk penawaran komputer riba produktiviti melalui siri komputer riba Honor Magicbook, tetapi akan datang, mereka nampaknya akan memasuki pasaran gaming juga dengan penawaran komputer riba gaming pertama mereka: Honor Win H9.

Honor juga nampaknya telah memperlihatkan beberapa butiran awal mengenai komputer riba ini, termasuklah penggunaan cip pemprosesan Intel Core i7-14650HX dengan NVIDIA GeForce RTX 5060 dan cip Intel Core Ultra 9 290HX bersama kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti. Kedua-dua konfigurasi ini juga akan hadir dengan memori LPDDR5 16GB dan storan SSD PCIe4.0 sebesar 1TB.
Satu gimik menarik yang diperlihatkan melalui Honor Win H9 ini ialah sistem penyejukan Honor Dongfeng yang terdiri daripada dua kipas penyejukan yang menarik udara dari bawah komputer riba, dan enam kipas di bahagian sisi yang meniup udara panas dari komponen ke ruang udara di luar rangka komputer.

Menurut Honor, apabila permainan komputer dimainkan dalam mod kipas Quiet Mode, suhu permukaan bahagian kiri papan kekunci dirakam pada sekitar 40 darjah Celcius dengan bunyi hingar kipas dirakam pada 38dB sahaja.

Honor mengatakan bahawa komputer riba gaming ini akan diperkenalkan secara lebih lanjut pada 23 April ini, dan mungkin akan memperlihatkan tanda harga dan tarikh jualan juga. Setakat ini, ia tidak diketahui lagi jika komputer riba ini akan ditawarkan di pasaran Malaysia seperti komputer riba Honor Magicbook.
[sumber]Honor Weibo[/sumber]