Menteri Sahkan Malaysia Masih Tiada Penyiar Rasmi Piala Dunia 2026
Effi Saharudin
Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat akan berlangsung antara 11 Jun hingga 19 Julai depan. Walaupun tinggal 56 hari sahaja lagi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan masih belum mempunyai penyiar rasmi temasya bola sepak yang berlangsung empat tahun sekali.
Beliau turut mengesahkan bahawa kabinet belum membincangkan langsung isu penyiaran Piala Dunia 2026. Ketiadaan penyiar rasmi bermakna peminat bola sepak tempatan tidak akan dapat mengikutinya secara langsung.

Sebelum ini muncul laporan FIFA meminta bayaran sekitar RM200 juta untuk hak penyiaran Piala Dunia 2026. Harga yang terlalu tinggi ketika syarikat penyiaran tempatan menanggung kerugian kerana wang pengiklanan kini dikaut sepenuhnya oleh platform atas talian. Astro yang selama ini menjadi penyiar rasmi tidak membeli hak penyiaran kerana pendapatan semakin berkurangan disebabkan oleh populariti penstriman berbanding TV satelit berbayar.
Apakah alternatif sekiranya benar Malaysia tidak mempunyai penyiar rasmi? Dalam kalangan peminat bola sepak semakin ramai secara terbuka membincangkan “platform alternatif” yang diragui keselamatan serta kesahannya di sisi undang-udang. Ramai tidak mahu ketinggalan melihat Ronaldo dan Messi beraksi untuk kali terakhir dalam temasya bola sepak paling agung sebelum bersara.
[sumber] Malay Mail [/sumber]