Pengarah Bourne Mengatakan AI Mengurangkan Kos Filem Beliau Daripada $300 Juta Ke $70 Juta
Effi Saharudin
Tidak boleh dinafikan menerusi siri filem Bourne, Doug Liman mengubah bagaimana filem aksi dihasilkan di Hollywood. Kerana Bourne, siri James Bond menjadi lebih realistik, ganas dan gritty berbanding era sebelum Daniel Craig. Tidak terhenti di situ Liman juga menghasilkan filem Edge of Tomorrow, Mr. & Mrs Smith dan Jumper yang juga mempunyai aksi ikonik.

Ini membuatkan langkah seterusnya diambil Liman menjadi bualan industri serta menimbulkan perdebatan mengenai penggunaan kecerdasan buatan (AI) generatif bagi menghasilkan filem. Pada ketika ini Liman sedang melakukan penggambaran untuk Bitcoin: Killing Satoshi yang dibintangi Gal Gadot, Pete Davidson, Casey Affleck dan Isla Fisher. Yang menjadikan filem ini unik ialah ia dilabel sebagai filem penuh kualiti studio pertama Hollywood yang dihasilkan menggunakan AI generatif.
Filem dirakam sepenuhnya dalam set kosong yang diberi gelaran “gray box.”. Pelakon latar, objek dan kesan khas akan dijana sepenuhnya oleh A generatif. AI masih belum menggantikan pelakon sepenuhnya seperti filem buatan Malaysia Pirate Queen: Zheng Yi Sao yang merupakan filem pertama janaan AI memasuki panggung wayang awal tahun ini.

Dalam ujian yang dilakukan, latar belakang kelabu lebih sesuai digunakan untuk pasca produksi AI berbanding skrin hijau dan biru yang digunakan industri selama ini. AI generatif menurut Liman, boleh mengurangkan kos pembikinan filem daripada $300 juta menjadi hanya $70 juta. Kesan khas akan dilakukan oleh Acme AI & FX dan 30 Ninjas yang merupakan syarikat AI yang ditubuhkan sendiri oleh Liman.
Kejayaan dan kegagalan Bitcoin: Killing Satoshi akan menjadi kayu pengukur sama ada AI generatif benar-benar boleh menawarkan kualiti sama seperti filem tradisional tetapi pada kos yang lebih rendah. Netflix baru sahaja membeli InterPositive, syarikat AI generatif Ben Affleck yang mendakwa kos boleh dikurangkan dengan model AI dilatih menggunakan karya sendiri untuk mengelakkan isu data dicuri.
Netflix turut mengaku kesan khas siri TV mereka sudah mula menggunakan AI generatif bagi mengurangkan kos sementara Disney+ sudah menguji penggunaannya atas sebab yang sama. Sementara itu mendiang Val Kilmer akan membintangi filem As Deep as the Grave juga dengan bantuan AI.
Di Malaysia penggunaan AI generatif sudah meluas bukan sahaja dalam filem tetapi siri TV dan video muzik artis tempatan. Teknologi AI generatif adalah amat tidak popular dalam kalangan artis tradisional tetapi realitinya ialah penggunaannya kini tidak lagi boleh dihalang kerana ianya jalan pintas yang merendahkan kos.
[sumber] The Wrap [/sumber]