Saham Syarikat Kasut Allbirds Naik Hampir 800% Selepas Umum Menjadi Syarikat AI
Effi Saharudin
Dalam dunia perniagaan, terdapat banyak cerita syarikat yang dahulunya dalam industri A sebelum masuk ke industri B. Nokia bermula sebagai syarikat memproses kayu, Nintendo bermula dengan mengeluarkan kad permainan dan Samsung pula menjual ikan serta mi sebelum semuanya menjadi nama besar dalam dunia teknologi.

Semalam syarikat Allbirds mengumumkan mereka akan menarik diri daripada industri pembuatan kasut dan mengubah hala tuju menjadi syarikat pusat data kecerdasan buatan (AI). Allbirds dijual pada bulan lalu dan barisan pengurusan baharu mengambil langkah drastik menerjah masuk ke arena AI yang sedang hangat dengan nama syarikat turut diubah menjadi NewBird AI.
Allbirds mengalami masalah kewangan sejak 2022 kerana permintaan berkurangan dan kos operasi meningkat. Pernah suatu ketiak Allbirds mempunyai nilai pasaran $4 bilion tetapi semasa dijual bulan lalu keseluruhan syarikat hanya bernilai $39 juta
Semasa artikel ditulis, saham syarikat melonjak 782% daripada $2.49 ke $21.95 selepas pengumuman dilakukan. NewBird AI berjaya mendapatkan dana $50 juta untuk membeli GPU bagi menawarkan perkhidmatan GPU-sebagai-perkhidmatan (GPUaaS) dan penyedia penyelesaian awan natif AI.
Awal tahun ini ramai meramalkan gelembung pelaburan AI hanya menanti waktu untuk meletup. Sungguhpun risiko ini wujud, masih ada pelabur dan syarikat yang berani menerjah masuk ke dalam industri yang menjanjikan pulangan pelaburan besar sekiranya berjaya.