DJI Osmo Pocket 4 Dilancarkan Dengan Rakaman 4K 240FPS – Harga Bermula RM 1999
Effi Saharudin
Setelah sekian lama diacah dengan imej tertiris, DJI Osmo Pocket 4 akhirnya dilancarkan secara rasmi. Ia masih lagi dilengkapi dengan sensor 1″ CMOS yang dipadankan dengan lensa 20mm f/2 dan julat ISO kini 50–12800. Kamera kini boleh melakukan rakaman video pada tetapan maksimum 4K pada 240FPS yang lebih baik berbanding hanya 120FPS pada Pocket 3.

Ia juga boleh merakam pada tetapan True 10‑bit D‑Log serta mempunyai kualiti tangkapan dalam gelap lebih baik dan penghasilan warna kulit lebih tepat. Tangkapan gambar statik juga kini adalah 37MP berbanding hanya 9.4MP pada model terdahulu. Terdapat enam Film Tones baharu iaitu CC Film, NC Film, Pastel, Warm Tone, Movie, dan Retro.

Penstabilan masih lagi mengekalkan gimbal 3 paksi dengan ActiveTrack 7 serta penjejakan zum 4X. Semua dikawal dengan butang kawalan 5D. Satu lagi peningkatan ialah ia kini mempunyai storan terbina 107GB, bateri lebih besar memberikan rakaman sehingga 240 minit dan skrin OLED kini lebih terang mencecah 1000 nits. Bateri lebih besar ini boleh dicas semula sehingga 80% dalam masa 18 minit.
Di Malaysia pratempahan telah dibuka hari ini hingga 21 April. Harga jualan ialah RM1999 untuk Standard Combo dan RM2599 untuk Creator Combo yang hadir dengan DJI Mic 3 dan lampu Pocket 4 Fill Light serta beberapa lagi aksesori tambahan.
