Tim Cook Letak Jawatan Sebagai CEO Apple Bermula September – Digantikan Oleh John Ternus
Effi Saharudin
Apple mengesahkan Tim Cook akan meletakkan jawatan sebagai CEO syarikat pada 1 September 2026. Beliau telah memimpin Apple sejak 2011 menggantikan Steve Jobs dan membawa syarikat menjadi antara yang paling bernilai di dunia.

Tugas beliau akan diambil alih oleh John Ternus, Timbalan Presiden Kanan Kejuruteraan Perkakasan Apple yang sebelum ini sudah dijangka akan menggantikan Cook. Ternus ialah seorang kakitangan veteran di Apple yang mengetuai pembangunan produk penting seperti iPhone, iPad dan Mac.
Walaupun bukan lagi CEO, Cook akan kekal sebagai Pengerusi Eksekutif lembaga pengarah Apple. Peranannya termasuk memberi nasihat strategik dan berhubung dengan pembuat dasar global. Di bawah kepimpinan Cook yang menyertai Apple pada tahun 1998, Apple mencapai nilai pasaran$4 trilion tahun lalu, melancarkan Apple Watch AirPods, Vision Pro, Apple Music, Apple TV+ dan perubahan kepada Apple Siicon sepenuhnya.

John Ternus pula menyertai Apple pada tahun 2001 sebagai ahli pasukan rekaan produk dan terlibat dengan pembangunan Apple Cinema Display. Era beliau sebagai CEO akan menarik perhatian ramai kerana Cook mempunyai latar belakang kejuruteraan industri sementara Ternus pula seorang jurutera mekanikal.
Apabila mula bertugas pada September nanti, Ternus akan menjadi CEO ke lapan dalam sejarah 50 tahun Apple. Sebelum beliau tugas ini digalas oleh Michael Scott (1977–1981), Mike Markkula (1981–1983), John Sculley (1983–1993), Michael Spindler (1993–1996), Gil Amelio (1996–1997), Steve Jobs (1997–2011) dan Tim Cook (2011–2026).