Ulasan Honor 600 Pro – Serupa Tetapi Tak Sama
Amy Maizuraa
Honor 600 Pro hadir di Malaysia dengan pendekatan yang lebih matang di mana ia dibina berasaskan falsafah untuk memberikan pengalaman premium tanpa kompromi. Ia bukan sekadar naik taraf spesifikasi tetapi menekankan bagaimana sebuah peranti pintar premium ini mampu milik boleh menawarkan kualiti setaraf peranti mercu lain.

Daripada rekaan sehinggalah pengalaman penggunaan harian, Honor jelas cuba memaksimumkan nilai untuk pengguna untuk menjadikan setiap aspek terasa lebih bernilai. Pendekatan ini turut menunjukkan usaha mereka untuk menyeimbangkan harga dengan prestasi sambil mengekalkan aura premium yang biasanya hanya ditemui pada jenama tertentu. Teruskan membaca ulasan ini bagi mengetahui dengan lebih lanjut pengalaman penggunaan Honor 600 Pro dalam dunia nyata.
Spesifikasi Ringkas
| Honor 600 Pro | |
|---|---|
| Skrin | 6.57 AMOLED 120Hz HDR Vivid, 8000 nit |
| Pemproses | Snapdragon 8 Elite Gen 4 (3 nm) |
| Cip | 2 x 4.32 GHz Oryon V2 Phoenix L 6 x 3.53 GHz Oryon V2 Phoenix M |
| Cip Grafik | Adreno 830 (1200 MHz) |
| RAM | 12 GB RAM 12 GB RAM Maya |
| Muatan Dalaman | 256/512GB |
| Kamera Utama | 200 MP, f/1.9, (lebar) OIS 50 MP, f/2.8, (telefoto) PDAF 12 MP, f/2.2 (ultra-lebar) |
| Kamera Depan | 50 MP, f/2.0, (lebar) HDR 4K/1080P |
| Bateri | Si/C Li-Ion 7000 mAh 80W berwayar 50W nirwayar 27W berbalik |
| SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
| NFC | Ya |
| Infra Merah | Tiada |
| Kalis Air | IP69K |
| Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
| Harga Jualan | RM 3,099 (12/256GB) RM 3,299 (12/512GB) |
Pengalaman Penggunaan
Tahun ini, Honor dilihat membuang skrin melengkung yang digunakan pada model tahun lalu dan menggantikannya dengan rekaan berkotak sepenuhnya. Walaupun begitu, Honor 600 Pro masih berjaya mengekalkan kemasan premium. Hal ini turut disokong oleh gabungan kemasan plastik di bahagian hadapan dan belakang yang rata sepenuhnya. Selain itu, bingkai logam yang membulat di semua sisi menambah rasa kemas serta premium pada keseluruhan rekaan.

Daripada pengalaman saya sendiri, Honor 600 Pro ialah sebuah peranti yang bersaiz besar. Namun demikian, ia terasa lebih mudah dikendalikan kerana dilengkapi skrin yang direka sepenuhnya rata. Penggunaan bingkai logam turut menjadikannya lebih ringan dan selesa digenggam. Pengalaman penggunaan juga boleh dipuji kerana ia mudah disimpan di dalam poket, beg kecil mahupun digunakan secara bersahaja tanpa menimbulkan rasa janggal.

Pengalaman memegang di tangan tidak menimbulkan rasa terlalu berkotak. Malah, ia terasa seimbang sama ada dari bahagian atas mahupun keseluruhan binaan. Hal ini mungkin disebabkan oleh keputusan Honor untuk mengubah suai sepenuhnya bonggol kamera belakang yang kini menyerupai iPhone 17 Pro. Walau bagaimanapun, apabila diperhatikan dengan lebih teliti, rekaannya tidak sepenuhnya sama kerana salah satu bonggol kamera tersebut mempunyai bentuk yang lebih memanjang.

Saya menyambut baik perubahan pada peranti baharu ini kerana ia berjaya mengubah persepsi saya terhadap rekaan bonggol kamera pada Honor 400 Pro sebelum ini, yang kelihatan agak pelik dengan kemasan berbentuk trapezium. Kini, rekaan yang lebih kemas memberikan imej yang seimbang serta menyenangkan. Walau bagaimanapun, pandangan ini hanyalah berdasarkan pengalaman peribadi semata-mata. Saya juga tidak mengaitkannya dengan persamaan kepada jenama lain kerana bagi saya hal tersebut tidak begitu penting.

Penerimaan terhadap perubahan ini tidak bermaksud saya bersetuju sepenuhnya dengan konsep Honor yang kelihatan seakan meniru reka bentuk pesaing. Namun begitu, pendekatan sebegini bukanlah sesuatu yang baharu kerana ia sudah menjadi kebiasaan dalam industri peranti pintar khususnya bagi peranti keluaran dari China.

Seperkara lagi yang menarik untuk diperhatikan ialah pilihan warna jingga pada peranti. Warna ini cukup menyerlah sehingga mudah menarik perhatian orang sekeliling, malah ada yang menyangka ia berasal daripada jenama lain. Hal tersebut tidak begitu mengejutkan kerana jika tidak diperhatikan secara teliti, panel belakangnya memang kelihatan hampir sama. Tambahan pula, kehadiran bulatan hitam serta kedudukan lampu LED flash yang hampir serupa menjadikan persamaan itu lebih ketara.

Daripada pengalaman saya, aspek ini menimbulkan perasaan bercampur. Di satu sisi, warna yang berani memberi identiti tersendiri. Namun di sisi lain, persamaan reka bentuk dengan jenama lain agak sukar untuk diabaikan. Kesannya, penggunaan Honor 600 Pro dalam warna oren ini bukan sahaja berkaitan fungsi, tetapi juga tentang bagaimana orang lain memberi reaksi terhadap reka bentuknya.
Selain itu, saya turut menyambut baik pilihan kemasan yang digunakan. Permukaan yang dipadankan terasa selesa di tangan, tidak licin, dan pada masa yang sama sukar memerangkap kotoran cap jari. Hal ini menjadikan penggunaan harian lebih praktikal tanpa perlu kerap membersihkan peranti.

Kali ini, Honor turut melengkapkan peranti mercu mampu milik ini dengan persijilan IP68 dan IP69/69K di mana satu peningkatan berbanding Honor 400 Pro yang sebelum ini hanya hadir dengan IP68/69. Honor 600 Pro juga ditawarkan dalam pilihan warna hitam. Walaupun pilihan ini tidak begitu menonjol, ia tetap kelihatan kemas dan profesional selari dengan imej yang ingin ditampilkan oleh peranti tersebut.
Susunan butang pada Honor 600 Pro masih mengekalkan kedudukan yang sudah biasa digunakan pada beberapa peranti mereka. Di sebelah kanan terdapat tiga butang iaitu butang kuasa, laras audio, dan satu lagi butang kamera tambahan. Berdasarkan pengalaman saya, setiap butang terasa tegap serta selesa ditekan tanpa menimbulkan masalah.
Menariknya, butang kamera tambahan yang kini lebih dikenali sebagai butang AI kini berfungsi dengan lebih pintar. Kehadirannya bukan sahaja menambah nilai pada keseluruhan pengalaman penggunaan, malah menjadikan peranti ini lebih praktikal untuk kegunaan harian.

Pada pandangan saya, kewujudan butang AI pada Honor 600 Pro merupakan tambahan yang menarik berbanding model tahun lalu kerana ia memberi dimensi baharu kepada cara pengguna berinteraksi dengan peranti pintar ini. Kesannya, pengalaman menggunakan peranti ini terasa lebih lancar, seolah-olah setiap fungsi berada dalam jangkauan yang mudah.

Saya juga memuji binaan butang AI ini kerana ia telah ditambah baik sehingga pengalaman menekan terasa lebih kukuh berbanding sebelum ini. Penggunaan bersama kerangka pelindung juga lebih disarankan kerana pengalaman menekan terasa lebih kukuh dan mudah. Hal ini menjadikan penggunaan harian lebih meyakinkan serta memberi kepuasan tambahan dalam setiap penggunaan peranti.
Dari segi sistem audio, pengalaman saya menggunakan Honor 600 Pro menunjukkan ia masih mengekalkan susunan pembesar suara stereo yang tidak seimbang. Bunyi dari bahagian bawah kedengaran lebih kuat manakala bahagian atas lebih perlahan, sesuatu yang sudah lama menjadi ciri standard sistem stereo pada peranti pintar.

Tambahan pula, Honor kali ini tidak menjalinkan kerjasama dengan mana-mana jenama audio khusus, jadi tiada sentuhan kolaborasi seperti yang dilakukan oleh sesetengah pesaing. Walau begitu, sepanjang penggunaan saya, kualiti bunyi yang dihasilkan tetap memadai untuk kegunaan harian. Kesannya, walaupun sistem audio ini bukanlah yang paling premium, ia masih memberi pengalaman mendengar muzik, menonton video dan bermain permainan dengan cukup baik.

Selain itu, ujian turut dijalankan untuk kebolehan sistem imbasan cap jari dan wajah. Menariknya, kedua-duanya masih berfungsi dengan pantas walaupun ketika tangan saya berpeluh. Masa yang diambil sekitar dua saat sahaja menjadikan pengalaman membuka kunci peranti terasa praktikal dan boleh dipercayai dalam penggunaan harian.
Perkakasan Dalaman – Cip Snapdragon 8 Elite Gen 4
Honor 600 Pro menggunakan cip Snapdragon 8 Elite Gen 4 berasaskan binaan 3nm yang digabungkan berasama memori 12GB RAM serta storan dalaman 512GB. Dari segi spesifikasi, ia sememangnya berada dalam kelas mercu.
Namun, ujian penanda aras menunjukkan cip ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya berbanding pesaing lain yang lebih agresif dalam mengoptimumkan kuasa pemproses. Meskipun begitu, pengalaman penggunaan harian tetap terasa lancar, mantap dan konsisten yang menjadikan peranti ini meyakinkan untuk tugasan harian meskipun tidak mencapai tahap prestasi maksimum seperti sesetengah peranti premium lain.
| Peranti | Skor |
| Honor 600 Pro | 2,640,686 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3,136,285 |
| Xiaomi 17 | 3,530,586 |
| Realme GT8 Pro | 3,066,488 |
| iQOO 15 | 3,726,305 |
| Honor Magic8 Pro | 3,424,247 |
| Vivo X300 Pro | 3,507,869 |
| OnePlus 15 | 3,720,096 |
| Oppo Find X9 Pro | 3,472,342 |
| Apple iPhone 17 Pro | 2,634,345 |

Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Honor 600 Pro | 2449 | 6080 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 3651 | 10,819 |
| Xiaomi 17 | 3294 | 9416 |
| Realme GT8 Pro | 3482 | 8153 |
| iQOO 15 | 3480 | 9789 |
| Honor Magic8 Pro | 3587 | 9853 |
| Vivo X300 Pro | 3507 | 10469 |
| OnePlus 15 | 3553 | 10484 |
| Oppo Find X9 Pro | 3158 | 9298 |
| Apple iPhone 17 Pro | 3560 | 8835 |

3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Honor 600 Pro | 6190 |
| Samsung Galaxy S26 Ultra | 7375 |
| Xiaomi 17 | 5491 |
| Realme GT8 Pro | 5461 |
| iQOO 15 | 6788 |
| Honor Magic8 Pro | 7659 |
| Vivo X300 Pro | 7075 |
| OnePlus 15 | 6741 |
| Oppo Find X9 Pro | 6127 |
| Apple iPhone 17 Pro | 5873 |
Pengalaman saya menggunakan Honor 600 Pro terasa cukup memadai dalam kelasnya. Dari segi gaming, judul popular seperti Mobile Legends Bang Bang (MLBB) dan Honor of Kings (HOK) berjalan lancar pada tetapan tinggi tanpa sebarang masalah. Untuk permainan yang lebih berat seperti Genshin Impact, ia masih boleh dimainkan dengan baik cuma perlu menurunkan sedikit tetapan apabila sesi permainan menjadi panjang bagi memastikan kestabilan.

Dalam penggunaan harian pula, Honor 600 Pro memberikan pengalaman yang lancar dan konsisten. Proses menukar aplikasi, memuat turun fail, menonton video, bersembang di aplikasi pemesejan, menggunakan tetingkap terapung, memindahkan media melalui Magic Portal serta penggunaan kamera semuanya berjalan tanpa gangguan. Namun begitu, terdapat kecenderungan peranti untuk menjadi panas, sesuatu yang sudah dijangka daripada cip Snapdragon 8 Elite.
Tidak dinafikan prestasinya panta, tetapi apabila digunakan lama terutama untuk tugasan berat didapati suhunya akan meningkat. Meskipun begitu, penggunaan keseluruhan masih memberikan pengalaman yang stabil dan meyakinkan menjadikannya sesuai sebagai peranti utama bagi kebanyakan pengguna.
Perisian Dalaman – MagicOS 10 Berasaskan Android 16
Komen saya sama seperti yang pernah saya nyatakan dalam ulasan model Honor 600 Lite sebelum ini. Pengalaman menggunakan MagicOS 10 pada peranti ini terasa lebih matang dengan padanan Android 16 yang menjadikan sokongan antara muka ringkas serta mesra pengguna. Ia mudah digunakan tanpa rasa sarat, sekali gus memberikan pengalaman yang lebih selesa dan konsisten untuk kegunaan harian.

Reka bentuk lut sinar pada skrin kunci, desktop, ikon dan info cuaca memberi sentuhan seakan “Liquid Glass” yang moden, sementara itu sokongan jam yang boleh diubah suai pula memberikan kebebasan untuk saya menyesuaikan paparan tersebut mengikut gaya peribadi. Tidak mengejutkan konsep “Liquid Glass” digunakan di sini kerana kebanyakan antara muka peranti terkini di pasarang sekarang turut memberikan pengalaman yang serupa.


Saya juga mendapati kebanyakan fungsi AI yang disediakan sebenarnya membantu dalam meningkatkan kecekapan harian. Walaupun tidak digunakan setiap masa, ia tetap memberi manfaat apabila diperlukan. Misalnya seperti AI Screen Recommendations yang membantu memberikan ringkasan serta saranan pintar berdasarkan kandungan semasa, manakala AI Content Creation pula memudahkan saya menghasilkan sesuatu dengan hanya sekali tekan tanpa perlu melalui banyak langkah.


Dalam proses penyuntingan imej, AI Photo Agent memberi kawalan penuh dan menjadikan proses lebih bebas serta mudah dikawal. Saya turut boleh mengakses ciri ini melalui AI Button sahaja. Selain itu, Magic Portal memudahkan akses pantas dengan kawalan hanya menggunakan satu tangan malah lebih mudah digunakan. Tambahan lagi, Magic Sidebar membantu produktiviti dengan hanya leretan ringkas, ang menjadikan tugasan harian lebih cepat diselesaikan apabila saya memerlukan aplikasi.

Tidak ketinggalan, terdapat juga AI Memories yang membolehkan maklumat dikeluarkan terus dari skrin dengan menekan butang AI atau menggunakan gerakan tiga jari. Fungsi ini mengingatkan saya kepada AI Mind Space yang ditawarkan pada peranti Oppo, Realme dan OnePlus.
Dari segi keselamatan, saya mendapati fungsi ditawarkan seakan cuba memberi keyakinan tambahan. Pengesanan deepfake berfungsi secara automatik sewaktu digunakan untuk panggilan video, sekali gus membantu memastikan identiti visual lebih terjamin. Sepanjang penggunaan, ia memberi keyakinan tambahan kerana ia dapat membezakan suara sebenar daripada yang palsu dengan cukup meyakinkan, sekali gus menjadikan pengalaman panggilan video terasa lebih terjamin dan selamat.

Selain itu, HONOR Onetap memudahkan perkongsian foto, video, dan fail dengan pantas, termasuk dengan iPhone atau Mac. Walaupun begitu, ia memerlukan aplikasi khusus seperti HONOR Connect dan HONOR Workstation untuk berfungsi sepenuhnya. Cuma saya rasa sedikit kurang selesa kerana untuk menggunakan ciri ini memerlukan banyak pengesahan. Bagi saya, ia agak merumitkan dan mungkin menimbulkan rasa kurang senang, terutamanya bagi mereka yang sangat mementingkan privasi.

Akhir sekali, HONOR AI Image Master menjadikan setiap tangkapan foto lebih menyerlah dengan hasil yang lebih berkualiti. Secara jujur, pengalaman saya dengan MagicOS 16 terasa lengkap kerana ia bukan sahaja memperkemas antaramuka malah turut memperkukuh keselamatan dan memperluas kreativiti dalam penggunaan harian. Walaupun saya tidak bergantung sepenuhnya kepada semua fungsi AI ini setiap masa tetapi kehadirannya masih memberi nilai kerana ia menjadikan pengalaman harian lebih lancar.
Di Malaysia Honor 600 Pro hanya menerima kemas kini 2 versi Android dan 3 tahun tampalan sekuriti. Ini adalah mengecewakan kerana ia sebuah peranti hampir mercu tetapi sokongan yang diberikan singkat. Honor hanya memberikan sokongan kemas kini 6+6 tahun di pasaran lain seperti Eropah sahaja pada ketika ini.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Sepanjang pengalaman saya menggunakan kamera Honor 600 Pro, saya mendapati hasil yang ditawarkan cukup menyeluruh kerana setiap mod mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri.





Kamera utama mampu menghasilkan gambar dengan julat dinamik warna yang luas sambil memberikan tona warna yang lebih menyerlah serta tepu. Pada waktu malam, kawalan cahaya masih baik manakala lensa telefoto zoom berjaya menangkap objek dengan jelas serta mengekalkan butiran walaupun dalam keadaan pencahayaan rendah. Namun begitu, langit pada waktu malam masih terdapatnya gangguan hingar yang agak ketara.





Perlu saya tekankan bahawa kebanyakan gambar yang saya ambil menggunakan profil warna Authentic kerana saya merasakan warna sebegini memberi impak lebih mendalam serta menimbulkan penceritaan dalam gambar. Walau bagaimanapun, terdapat dua lagi pilihan iaitu Natural dan Vibrant yang masing-masing memberikan gaya berbeza mengikut citarasa pengguna.




Secara jujur, pengalaman saya dengan kamera ini terasa lebih bermakna apabila menggunakan profil warna yang sesuai dengan suasana rakaman. Authentic memberi kesan dramatik dan penuh cerita, Natural pula lebih lembut dan realistik, manakala Vibrant menonjolkan warna yang terang untuk hasil yang lebih segar. Bagi saya, pilihan ini menjadikan fotografi lebih peribadi kerana setiap rakaman mampu mencerminkan emosi yang berbeza.










Beralih kepada mod potret pada kamera Honor 600 Pro, saya mendapati tona warna kulit yang dihasilkan kelihatan lebih semula jadi walaupun terdapat sedikit kesan kecantikan yang ditambah secara automatik. Walau bagaimanapun, pemisahan objek kadangkala menunjukkan kecacatan kerana pengesanan tepi tidak begitu kemas, dan untuk memperoleh hasil yang lebih baik pencahayaan yang mencukupi amat diperlukan.




Fungsi potret ini turut menawarkan mod Harcourt dengan tiga pilihan iaitu Harcourt Vibrance, Harcourt Color dan Harcourt Classic. Selain itu, terdapat juga beberapa penuras berasaskan filem seperti Clear Negative, Rich Negative, Warm Negative dan lain-lain yang menambah variasi gaya pada hasil gambar. Namun begitu, saya lebih tertarik untuk mencuba ciri Peel Apart the Film kerana ia memberikan pengalaman seakan-akan menggunakan kamera filem segera dengan kesan butiran vintaj serta perubahan warna rawak.

Semakan saya mendapati ciri ini bukanlah baharu kerana telah diperkenalkan sejak model Honor 400 Pro cuma saya tidak menyedarinya sebelum ini. Meskipun begitu, ia tetap memberikan pengalaman yang unik kerana menyerupai kamera filem segera yang lazimnya berfungsi dengan cara mengupas lapisan secara manual selepas gambar diambil.
Proses itu memberi pengalaman yang berbeza manakala pada peranti ini konsep sama digunakan dengan cara lebih moden kerana ‘lapisan’ itu dikupas melalui skrin sahaja. Dengan itu, ia seakan menghidupkan kembali suasana kamera analog dan sesuai digunakan dengan latar belakang kosong kerana menyerupai gaya kamera digital lama. Apabila gambar diambil ia memberikan pengalaman penuh nostalgia seakan membawa pengguna kembali kepada fotografi klasik tetapi dengan sentuhan moden.


Tambahan pula, apabila digunakan bersama LED Flash, hasilnya tampak lebih menarik. Justeru, ciri ini bukan sahaja menambah variasi gaya dalam fotografi mudah alih, malah turut meningkatkan pengalaman saya sebagai pengguna yang menghargai gabungan teknologi baharu dengan kenangan lama.
Meskipun ciri ini menarik, saya merasakan ia tidak akan digunakan sepanjang masa kerana lebih sesuai dijadikan fungsi berdiri sendiri agar boleh digunakan secara bebas termasuk pada foto biasa, bukan sekadar terhad kepada mod potret.
Hal ini demikian kerana apabila mahu menggunakan flash, bokeh perlu dimatikan terlebih dahulu. Oleh itu, pada masa akan datang adalah lebih baik sekiranya Honor memisahkan fungsi ini secara khusus, seperti yang dilakukan oleh Vivo melalui aplikasi kamera tersendiri mereka.

Seterusnya, fungsi AI Image to Video pada Honor 600 Pro benar-benar memberi pengalaman yang lebih menarik dalam fotografi mudah alih. Dengan peningkatan baharu, gambar statik bukan sekadar boleh digerakkan malah sehingga tiga imej boleh digabungkan menjadi video pendek. Lebih menariknya lagi, pengguna boleh memberikan arahan mengikut kreativiti yang menjadikannya lebih bebas berbanding versi terdahulu yang terhad kepada gerakan asas.

Daripada pengalaman saya, ciri ini menambahkan keseronokan kerana ia membuka ruang untuk bereksperimen dengan gaya visual yang kreatif. Gambar statik seolah-olah bertukar menjadi naratif ringkas yang hidup, sesuai untuk dikongsi di media sosial atau dijadikan kenangan peribadi dengan sentuhan moden.
Namun begitu, terdapat batasan yang perlu diambil kira. Durasi video hanya sekitar lima saat dan proses penjanaan mengambil masa sekitar dua hingga lima minit bergantung pada kelajuan internet. Walaupun begitu, kelebihannya ialah ia boleh dijalankan di latar belakang, jadi saya tidak perlu menunggu di skrin sehingga selesai. Jika mahu menghasilkan penceritaan lebih panjang, proses boleh diulang beberapa kali.
Satu aspek yang saya dapati mesra pengguna ialah sokongan arahan dalam bahasa Melayu. Hal ini menjadikan pengalaman lebih mudah diakses oleh pengguna tempatan. Cuma, arahan yang diberikan mestilah jelas dan spesifik supaya hasil yang dijana menepati kehendak. Dari segi bunyi pula, saya lebih gemar mematikannya kerana kebanyakan audio yang dijana adalah dalam bahasa Mandarin walaupun arahan diberikan dalam bahasa Inggeris atau Melayu.

Secara jujur, walaupun fungsi ini menyeronokkan untuk dicuba, saya tidak melihat keperluan sebenar menghasilkan video daripada gambar kerana saya lebih mengutamakan keaslian rakaman imej dan video. Bagi saya, momen bermakna lebih baik dirakam sendiri kerana ia memberi nilai yang lebih mendalam. Walau bagaimanapun, saya akui teknologi ini tetap menarik dan berfungsi dengan baik. Oleh itu, jika konsep ini sesuai dengan minat anda, Honor 600 Pro menyediakan cara terbaik untuk menikmatinya.
Bateri Dan Pengecasan Pantas
Ciri paling penting pada HONOR 600 Pro ialah bateri sebesar 7000mAh. Kapasiti ini sangat besar untuk sebuah peranti dengan rekaan nipis dan memberi kesan pada pengalaman penggunaan harian. Melalui penggunaan saya dengan rutin biasa seperti menatal media sosial, menonton YouTube, bersembang di Telegram, mengambil gambar, memuat turun fail serta beralih antara aplikasi, saya boleh mendapat kira-kira 6–9 jam SOT dalam penggunaan berat sebelum bateri perlu dicas semula.
Apabila digunakan secara intensif sekalipun, baki bateri biasanya masih ada sekitar 10% hingga 20% pada penghujung hari. Dan kebanyakan ujian ini saya lakukan dengan skrin berkadar segar semula 120Hz yang diaktifkan sepanjang masa. Jika rutin lebih ringan dan santai, peranti boleh bertahan sehingga dua hari penggunaan tanpa masalah.
Apa Di Dalam Kotak
Berikut ialah yang disertakan dalam kotak yang kami terima:
- 1 x Honor 600 Pro.
- 1 x Kepala Pengecas 100W.
- 1 x Kabel USB-A ke USB-C.
- 1 x Kerangka Silikon.
- 1 x Manual Pengguna.
- 1 x Pencungkil SIM.
Kesimpulan
Honor 600 Pro ialah sebuah peranti mercu mampu milik yang menekankan keseimbangan antara prestasi, rekaan premium dan ketahanan bateri. Dengan cip Snapdragon 8 Elite Gen 4 serta bateri besar 7000mAh, peranti cuba menyediakan pengalaman harian yang lancar dan tahan lama. Walaupun pemprosesan tidak digunakan sepenuhnya seperti pesaing lain tetapi prestasinya masih memadai untuk kegunaan harian dan permua. Dari segi rekaan, ia terasa premium di tangan meskipun ada yang mungkin berpendapat luarannya terlalu mirip pesaing.

Jadi adakah Honor 600 Pro berbaloi untuk dibeli? Pada pendapat saya, jawapannya ya jika anda mahukan prestasi kukuh, bateri yang tahan lama dan pengecasan pantas pada harga lebih rendah berbanding kebanyakan peranti mercu di pasaran. Sepanjang penggunaan, ia sememangnya terasa premium di tangan walaupun rekaannya mungkin tidak menepati citarasa semua orang.
Dari sudut nilai perkakasan dalaman, ia dirasakan cukup meyakinkan dan memberi kelebihan yang jelas untuk kegunaan harian. Jika dibandingkan dengan Honor 400 Pro, perubahan yang ditawarkan lebih kepada penambahbaikan seperti rekaan lebih kemas, cip lebih berkuasa dan bateri lebih besar tetapi bukannya revolusi penuh.
Peranti dijual pada harga bermula RM3099 sebuah dalam warna Orange, Black dan Golden White.
Kelebihan
- Rekaan premium dengan bingkai logam dan skrin rata yang selesa.
- Bonggol kamera baharu lebih kemas dan seimbang.
- Pensijilan IP68 dan IP69/69K untuk ketahanan air dan debu.
- MagicOS 10 dengan antaramuka moden serta fungsi AI berguna.
- Kamera utama dengan hasil warna pelbagai dan mod potret Harcourt.
- Ciri kreatif seperti Peel Apart the Film dan AI Image to Video.
- Bateri besar 7000mAh dengan pengecasan pantas.
- Prestasi harian lancar untuk multitasking dan gaming sederhana.
Kekurangan
- Sokongan kemas kini hanya 2+3 tahun.
- Reka bentuk kamera dan warna tertentu mirip pesaing.
- Tiada sokongan audio premium.
- Cip Snapdragon 8 Elite Gen 4 tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
- Peranti mudah panas bila digunakan lama.
- Beberapa ciri kamera dan AI diberikan adalah terhad.
- Honor Onetap agak rumit kerana banyak pengesahan diperlukan.
