Ulasan Pengecas Dan Power Bank UGreen – Rakan Pengecasan Padat Peranti Anda
Nazrin
UGreen adalah jenama aksesori pengecasan peranti pintar dan komputer riba yang tidak asing lagi untuk rakyat Malaysia dengan penawaran pengecasan yang cukup banyak sekali untuk pelbagai jenis penggunaan.

Baru-baru ini, kami telah diberikan peluang untuk mencuba dan mengulas beberapa penawaran pengecasan terbaru mereka, termasuklah UGreen 10K mAH Fast Charging Power Bank dan pengecas UGreen Nexode Pro.
UGreen 10K mAH Fast Charging Power Bank
Seperti yang tertera pada namanya, UGreen 10K mAH Fast Charging Power Bank ialah sebuah power bank yang hadir dengan kapasiti pengecasan 10,000 mAH dalam sebuah saiz yang padat. Dari segi pilihan palam, ia hadir dengan sati palam USB 3.2 Type-C dan satu palam USB 3.2 Type-A.

Ia juga hadir dengan kabel USB 3.2 Type-C terbina yang boleh digunakan sebagai “tali pengikat” untuk power bank ini, dan hadir dengan kemampuan mengecas sepantas 45W untuk kebanyakan peranti pintar, dan sehingga 55W khusus untuk peranti Xiaomi.

Dalam pada itu, ia juga hadir dengan paparan digital yang membolehkan anda melihat peratusan pengecasan bateri dan juga kelajuan pengecasan yang sedang dilakukan. Jika anda sedang mengecas pada ketiga-tiga palam yang ditawarkan, paparan ini akan memaparkan kesemuanya.

UGreen mengatakan bahawa kabel terbina pada power bank mereka hadir dengan sokongan pengecasan sehingga 45W, dan khusus untuk peranti-peranti berjenama Xiaomi, power bank ini boleh mengecas peranti-peranti tersebut pada kadar pengecasan setinggi 55W.

Dalam pengalaman kami sendiri menggunakan power bank ini, kami telah melihat bahawa kadar pengecasan untuk peranti-peranti bukan Xiaomi jarang sekali mengecas pada kadar 45W. Ya, ia boleh mencapai kadar tersebut, tetapi secara lazimnya, walaupun dengan peranti-peranti yang menyokong pengecasan pantas, kami hanya dapat memperlihatkannya pada kadar 30-35W.
Walaupun begitu, pengecasan untuk peranti Xiaomi adalah tepat, dimana ia memperlihatkan pengecasan 55W pada fasa awal dan pertengahan pengecasan, dan akan menjadi lebih perlahan apabila ia menghampiri 100 peratus.

Kadar pengecasan semula power bank ini juga dilihat sama seperti pengecasan peranti, sekitar 30-35W, dan dalam pengalaman kami, mengambil masa 1 jam 30 minit ke 1 jam 45 minit untuk pengecasan dari kosong ke penuh. Bagi saya ini adalah kadar pengecasan baik untuk power bank seperti ini, dimana ia tidak terlalu perlahan, dan tidak terlalu panas apabila dicas.

Saiznya yang padat juga membolehkannya mudah untuk disimpan dalam pelbagai jenis beg, sama ada beg galas ataupun tas tangan, dan hadir dengan kadar pengecasan yang cukup pantas untuk membolehkan peranti-peranti pintar anda digunakan walaupun hanya selepas 10 ke 15 minit pengecasan.
Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak apabila anda membeli UGreen 10K mAH Fast Charging Power Bank:
- 1x UGreen 10K mAH Fast Charging Power Bank
- 1x kabel pengecasan USB Type-A ke Type-C
- 1x tali pengikat
UGreen Nexode Pro
UGreen Nexode Pro ialah model pengecas peranti elektronik dengan kapasiti pengecasan setinggi 100W, yang cukup berkuasa untuk mengecas bukan sahaja beberapa peranti pintar sekaligus, tetapi juga cukup berkuasa untuk mengecas komputer riba kelas nipis dan ringan anda, seperti Apple MacBook Air, Microsoft Surface Pro atau ASUS ZenBook jika anda memilikinya.

Pengecas UGreen Nexode Pro hadir dengan lima palam pengecasan yang terdiri daripada empat palam USB 3.2 Type-C dan satu palam pengecasan USB 3.2 Type-A. Palam USB Type-C pertama sehingga ketiga (C1-C3) hadir dengan gabungan sokongan sehingga 100W sepenuhnya, manakala palam USB Type-C keempat hadir dengan pengecasan sehingga 30W. Palam USB Type-A pula hadir dengan kadar pengecasan sehingga 22.5W.

Sama seperti power bank sebelum ini, pengecas Nexode Pro ini juga hadir dengan paparan skrin terbina yang akan memperlihatkan kadar pengecasan peranti anda berdasarkan palam yang digunakan untuk mengecas.

Penggunaan teknologi GaN pada pengecas ini membantu pengecas ini untuk bukan sahaja mengecas sehingga 100W, tetapi juga membolehkannya untuk kekal suam dan beroperasi pada kadar optimum sepanjang waktu pengecasan.

Dari segi pengecasan, aksesori UGreen Nexode Pro ini tiada sebarang isu, tetapi pada pendapat saya, terdapat dua cadangan penambahan yang bagi saya, membolehkan aksesori ini untuk menjadi lebih berguna lagi.

Pertama ialah penambahan palam penyesuai untuk pengecasan di negara-negara yang menggunakan kepala pengecasan berbeza. Pengecas Nexode Pro adalah sebuah aksesori yang sangat sesuai digunakan untuk mengecas kedua-dua jenis peranti sekaligus, dan tiada tujuan lebih afdal selain dari untuk mengurangkan beban aksesori apabila anda ke luar negara.

Kedua ialah aksesori pengecasan ini tidak mempunyai kabel pengecasan didalam kotak. Kabel pengecasan USB Type-C atau Type-A akan perlu dibeli sendiri, dan untuk memaksimakan kadar pengecasan peranti, nasihat kami ialah untuk membeli kabel pengecasan UGreen yang hadir dengan sokongan untuk pengecasan sehingga 100W.
Ramai yang tidak tahu mengenai ini, tetapi walaupun pengecas anda menyokong pengecasan sehingga 100W, kabel yang digunakan untuk mengecas peranti anda juga haruslah menyokong kadar pengecasan yang sama juga. Had pengecasan peranti adalah terhad kepada kadar pengecasan terendah yang disokong, dari pengecas, ke kabel dan juga peranti yang dicas.

UGreen mengatakan bahawa pengecas ini boleh mengecas komputer riba MacBook Pro dari kosong ke kosong ke 57 peratus dalam masa 30 minit, dan dalam percubaan kami untuk mengecas peranti komputer riba kami, satu isu yang diperlihatkan hadir daripada ketiadaannya kabel pengecasan pantas yang membolehkan kami memanfaatkan kadar pengecasan pantas ini.

Oleh kerana itu, kami memperlihatkan pengecasan sekitar 45-65W yang masih boleh dikatakan pantas, tetapi tidak mencapai apa yang dipromosikan oleh UGreen. Seperti yang kami katakan, UGreen ada menjual kabel dengan kemampuan mengecas sehingga 100W, tetapi ia perlu dibeli secara berasingan.
Ada Apa Dalam Kotak

Ini adalah apa yang ditawarkan didalam kotak apabila anda membeli pengecas UGreen Nexode Pro:
- 1x pengecas UGreen Nexode Pro
Penutup
Penawaran aksesori pengecasan terbaru daripada UGreen memperlihatkan fokus terhadap gabungan saiz padat dan kemampuan pengecasan yang bagus. Dengan power bank UGreen 10K mAH Fast Charging Power Bank, kapasiti besar yang terkandung dalam aksesori ini membolehkan anda mengecas kebanyakan peranti pintar moden sebanyak 1.5 ke 2.0 kali, membolehkan anda menggunakan peranti anda untuk pelbagai jenis tujuan sepanjang hari.

Untuk pengecas UGreen Nexode Pro pula, lima palam pengecasan dengan pengecasan maksima 100W bermakna bahawa ia sebuah aksesori yang boleh digunakan dalam pelbagai situasi, sama ada pengecasan pelbagai peranti dan aksesori di rumah ataupun apabila anda pergi bercuti ataupun merantau. Cuma bagi saya, keperluan untuk membeli penyesuai palam dan kabel secara berasingan merupakan satu kekurangan yang agak ketara.
Walaupun begitu, ini merupakan dua daripada penawaran yang cukup baik dari UGreen sekiranya anda sedang mencari aksesori pengecasan yang menyokong pelbagai teknologi pengecasan pantas untuk peranti-peranti elektronik moden.
UGreen 10,000mAH Fast Charging Power Bank kini ditawarkan melalui gedung atas-talian Shopee pada harga RM159, manakala pengecas UGreen Nexode Pro 100W ditawarkan pada harga RM209.
Pro:
- Power bank hadir dengan kapasiti besar dalam saiz kecil
- Kabel terbina pada power bank
- Skrin TFT dengan butiran pengecasan yang baik
- Lima palam pada pengecas Nexode Pro Yang membolehkannya mengecas pelbagai peranti sekaligus
- Nexode Pro hadir dengan sokongan pengecasan sehingga 100W
Kontra:
- Pengecasan 55W pada power bank hanya terhad kepada peranti Xiaomi
- Pengecas Nexode Pro tidak hadir dengan kabel pengecasan didalam kotak
- Kabel khusus dengan kemampuan pengecasan tinggi diperlukan untuk memanfaatkan kapasiti pengecasan maksima pengecas Nexode Pro