Friendster Kembali Dibawah Pemilik Baharu Dengan Fokus Pada Kawan Dunia Nyata
Aman
Friendster merupakan salah satu perkhidmatan sosial terawal di arena internet, namun gagal kekal relevan selepas kebangkitan perkhidmatan seperti Facebook. Versi terawalnya terkubur, sebelum ia bertukar pemilik beberapa kali, termasuk pernah dimiliki oleh syarikat Malaysia, MOL.
Terbaru, nampaknya nama domain dan tanda dagang ia telah dimiliki oleh pemilik baharu, yang sedang dalam usaha membangunkan kembali perkhidmatan sosial berkenaan. Friendster baharu ini ditawarkan dalam bentuk aplikasi, untuk pengguna iPhone terlebih dahulu.

Friendster baharu ini menekankan kepada kenalan dalam dunia nyata. Untuk menambah rakan, pengguna perlu tap telefon satu sama lain, dan haya selepas itu anda boleh menghantar mesej, atau melihat perkongsian yang lain.
Ini sekaligus memastikan kenalan yang ditambah di Friendster adalah mereka yang anda pernah bersemuka. Secara tidak langsung, ini juga memastikan perkhidmatan sosial berkenaan kekal positif dan mengelak perkongsian yang tidak membantu.
Disamping itu, seperti Daun, ia juga hadir tanpa sebarang algoritma atau iklan. Buat masa ini, Friendster ditawarkan untuk pengguna iPhone sahaja, dan tidak diketahui lagi bilakah versi Android akan diperkenalkan.