Japan Airlines Menggunakan Robot Humanoid Untuk Menguruskan Kargo
Effi Saharudin
Japan Airlines (JAL) memulakan ujian menggunakan robot humanoid untuk operasi menguruskan kargo di lapangan terbang. Ini adalah ujian untuk menyasarkan penjimatan tenaga kerja, meningkatkan kecekapan, dan mengurangkan beban fizikal terhadap pekerja manusia.
Walaupun dunia aeroangkasa menggunakan teknologi terkini pada pesawat, proses memasukkan dan memunggah palet kargo ke dalamnya masih lagi menggunakan pekerja manusia seperti sejak zaman awal pengangkutan udara diperkenalkan. Robot humanoid dipilih kerana ia lebih sesuai untuk persekitaran kompleks di kawasan apron. Ia boleh diprogramkan untuk ,menyesuaikan diri dengan peralatan sedia ada tanpa ubah suai besar.

Selain proses memunggah kargo, ia juga boleh memunggah bagasi, membersihkan kabin, atau mengendalikan peralatan sokongan darat (GSE) seperti lori bagasi serta trak mengundurkan pesawat daripada pintu pelepasan.
Antara robot yang akan digunakan ialah keluaran Unitree setinggi 130 cm. Syarikat ini telah menawarkan robot humanoid kepada pelanggan di China serta baru-baru ini membangunkan robot yang hampir memecahkan rekod 100m Usain Bolt.
Penggunaan robot diharap dapat mengurangkan beban ke atas operasi lapangan terbang Jepun yang kekurangan tenaga pekerja manusia dan ini tidak dibantu oleh peningkatan jumlah pelancong luar sejak kebelakangan ini. Jepun enggan meningkatkan jumlah pekerja migran dan oleh itu memilih menggunakan robot serta sistem automasi bagi mengisi kekosongan tenaga kerja manusia.
Program ujian akan dimulakan bermula bulan Mei ini sehingga 2028 di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda.