Porsche Tutup Anak Syarikat Menghasilkan Bateri, Basikal Dan Perisian
Effi Saharudin
Syarikat pengeluar kereta prestasi tinggi Porsche mengumumkan penutupan tiga anak syarikat sebagai langkah penstrukturan semula selepas jualan kenderaan mereka terjejas teruk. Yang akan ditutup ialah Cellforce Group, Porsche eBike Performance dan Cetitec.
Cellforce Group yang menghasilkan teknologi bateri untuk EV Porsche ditutup selepas syarikat terbuka kepada penggunaan teknologi syarikat luar. Sementara itu Porsche eBike Performance pembuat sistem basikal elektrik ditutup selepas pembangunan eMTB terbaru mereka dibatalkan secara mengejut pada Disember lalu.

Akhir sekali syarikat pembangunan perisian kenderaan Cetitec diutup walaupun digunakan pada kenderaan keluaran Porsche dan VW Group (Volkswagen, Audi, Porsche, ŠKODA, Lamborghini, dan Bentley). Kesemua tindakan drastik ini diambil bagi mengembalikan tumpuan syarikat kepada perniagaan teras. Seramai 500 kakitangan akan kehilangan kerja disebabkan penutupan tiga subsidari ini.
Bulan lalu Porsche melepaskan pegangan saham dalam syarikat Bugatti Rimac dan Rimac Group juga sebagai langkah pengurangan kos. Walaupun mempunyai penawaran EV prestasi tinggi yang menarik menerusi Taycan, jualan Porsche susut tahun lalu disebabkan persaingan daripada syarikat EV China yang menawarkan kenderaan dengan prestasi setanding tetapi pada harga jauh lebih murah.