Google Melaporkan Serangan Siber Pertama Dilakukan Menggunakan AI
Kecerdasan buatan (AI) sepatutnya menjadikan manusia lebih maju dengan meningkatkan produktiviti serta melakukan pekerjaan yang membosankan untuk manusia. Utopia ialah yang kita idamkan tetapi sebaliknya AI menjadi Torment Nexus yang menyebabkan ribuan kehilangan kerja. Pagi ini Google Threat Intelligence Group (TIG) melaporkan mereka mengesan serangan siber hari-sifar pertama yang dilakukan dengan bantuan AI.

Google TIG mengatakan kumpulan siber jenayah terkenal menggunakan AI untuk mengesan kerentanan hari sifar baharu pada perisian dan membina cara untuk mengeksploitasi kerentanan in bagi tujuan menggodam. Serangan disasarkan pada alat pentadbiran sistem sumber terbuka yang meluas penggunaannya, tetapi berjaya disekat sebelum berlaku eksploitasi besar-besaran berjaya dilakukan.
Yang merisaukan ialah Google TIG berkata penemuan ini mungkin hanyalah sekadar permulaan dalam inovasi serangan berasaskan AI oleh penjenayah. AI kini cukup berkemampuan untuk mencari kelemahan perisian secara automatik, membantu membangunkan perisian hasad, menganalisa sasaran dan menjana kod sebelum membuat keputusan dengan pengawasan manusia yang minimum.
Penggunaan AI bagi tujuan serangan siber sudahpun diramal. Awal bulan lalu model Claude Mythos mengesan ratusan kerentanan pada perisian yang tidak pernah dikesan sebelum ini. Oleh sebab risiko yang mungkin wujud, Anthropic tidak memberikan Claude Mythos diakses secara umum. Sebaliknya akses diberikan kepada badan-badan kerajaan dan bank utama dunia terlebih dahulu untuk menampal kerentanan yang wujud pada sistem mereka.