Sony Xperia 1 VIII Dilancarkan Secara Rasmi – Snapdragon 8 Elite Gen 5 dan Tri-Kamera Zeiss
Nazrin
Sehari selepas wajah Sony Xperia 1 VIII tertiris, Sony akhirnya telah memperkenalkan peranti pintar mercu terbaru mereka secara rasmi pada hari ini dan telah memperlihatkan sejumlah penambahbaikan apabila dibandingkan dengan peranti Xperia sebelum ini.
Bermula dengan paparan skrin, Xperia 1 VIII dilengkapi panel LTPO OLED 6.5″ dengan resolusi FHD+ (1080×2340) dan kadar segar semula 120Hz bersama nisbah paparan 19.5:9 serta menyokong HDR BT.2020.

Peranti ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Snapdragon 8 Elite Gen5 dan hadir dengan penawaran memori sehingga 16GB RAM dan storan sehingga 1TB. Ia masih hanya dilengkapi bateri 5000 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 30W dan nirwayar 15W seperti model tahun lalu.
Seperti peranti-peranti pintar Sony Xperia yang lain, Xperia 1 VIII hadir dengan gabungan sistem kamera dan perisian yang dilihat lebih canggih dan mendalam berbanding banyak jenama lain. Untuk model terbaru ini, ia hadir dengan sistem tiga kamera yang terdiri daripada kamera lebar utama dengan sensor 48MP f1.9, kamera telefoto 48MP f2.8 dengan kemampuan zum 2.9x dan kamera ultra-lebar 48MP f.20. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 12MP f2.0 22mm.

Perubahan dilakukan ialah kamera disusun dalam konfigurasi tiga segi berbanding tiga disusun secara menegak selama ini. Seperti semua siri Xperia 1, Xperia 1 VIII dilengkapi dengan lensa Zeiss seperti kamera Sony Alpha.

Dari segi perisian, Xperia 1 VIII turut menawarkan ciri suntingan gambar dalam kamera yang hadir dengan turas warna, bokeh, dan cadangan sudut gambar yang menggunakan teknologi AI yang dilihat akan membantu pengguna mengambil gambar yang lebih cantik.
PSatu lagi ciri klasik yang masih diperlihatkan ialah palam audio 3.5mm untuk fon telinga berwayar dan sokongan kad mikro SD sehingga 2TB bagi penambahan storan dalaman. Sebuah butang kamera fizikal juga disertakan pada sisi kanan peranti. Tubuh peranti melepasi piawaian kalis air IP68.
Dari sudut sistem operasi pula ia menggunakan Android 16. Tiada maklumat mengenai sokongan kemas kini pada ketika ini tetapi tahun lalu ia menerima 4 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti.

Dalam pada itu, rekaan peranti Xperia 1 VIII juga dilihat hadir dengan permukaan kusam dengan empat penawaran warna, termasuklah Graphite Black, Iolite Silver, Garnet Red dan Native Gold yang diperkenalkan khusus untuk model dengan storan 1TB.
Pra-tempahan untuk Sony Xperia 1 VIII nampaknya telah diperkenalkan untuk pasaran Eropah terlebih dahulu, pada harga €1,499 (~RM 6918) yang mana pembeli juga akan dapat sepasang fon kepala Sony WH1000XM6 secara percuma. Laman Sony Malaysia menyatakan model 12/256GB akan hadir tetapi harga tempatan belum lagi diumumkan.