SpaceX Memfailkan IPO – Musk Pegang 85.1% Kuasa Undian
Effi Saharudin
SpaceX memfailkan IPO mereka pagi ini dengan ia diramalkan menjadi IPO terbesar dalam sejarah dengan sasaran penilaian sekitar $1.75 trilion. Syarikat merancang untuk disenaraikan di Nasdaq dengan nama SPCX. Ramai menanti SpaceX menyenaraikan IPO kerana ini kini bukan sekadar sebuah syarikat aeroangkasa tetapi juga kecerdasan buatan (AI) dan juga media sosial selepas mengambil alih xAI serta X.

Dalam dokumen S-1 yang difailkan, situasi kewangan SpaceX akhirnya diketahui. Sepanjang 2025, SpaceX mencatatkan kerugian bersih $4.9 bilion berbanding pendapatan $18.7 bilion. Syarikat turut mempunyai hutang terkumpul $29.1 bilion sehingga Q1 2026. Ini adalah disebabkan pengambilalihan xAI serta X yang juga merupakan syarikat milik Elon Musk.
Sepanjang 2025 juga, Starlink menyumbang 70% pendapatan syarikat dan pada ketika ini mempunyai 10.3 juta pelanggan di 164 negara dengan 9,600 satelit dilancarkan sehingga Q1 2026. Selepas IPO ditawarkan, Elon Musk masih memegang 85.1% kuasa undian melalui struktur saham dua kelas.