Infinix HOT 70 Rasmi Dengan Panel Belakang Berubah Warna Dan Bateri 6000mAh
Amy Maizuraa
Infinix secara rasmi memperkenalkan HOT 70 dengan beberapa penawaran menarik. Antara tarikan utama ialah rekaan unik Thermo Paint yang menjadikan warna panel belakangnya berubah mengikut suhu.
Sebagai contoh, warna ‘Thermo Orange’ boleh bertukar daripada ‘Quiet Orange’ ketika sejuk kepada ‘Playful Orange’ apabila panas. Ia mengingatkan kepada model realme yang turut menawarkan kebolehan ubah warna yang serupa.

Menurut Infinix, konsep ini menggunakan teknologi ‘Dual-way Thermo Sensing Skin’ yang mereka yakin mampu menjadi penanda aras baharu dalam rekaan telefon pintar.
Kemasan ini boleh menukar tona warna peranti mengikut suhu contohnya pada suhu di bawah 0°C panel belakang bertukar kepada warna jingga yang lebih pekat manakala sekitar 65°C ia berubah kepada jingga yang lebih lembut.

Melengkapkannya, terdapat butang fizikal tambahan One-Tap AI Button untuk akses pantas kepada aplikasi atau fungsi tertentu sementara itu tubuhnya hadir dengan ketebalan hanya 7.49mm dan berat 195g.
Infinix HOT 70 hadir dengan skrin 6.78″ IPS LCD HD+ dengan kadar segar semula 120Hz, dijana cip Helio G100 Ultimate, memori sehingga 8GB RAM LPDDR4X, storan sehingga 256GB UFS 2.2, dan bateri 6000 mAh yang menyokong pengecasan 45W.

Kamera utama terdiri daripada sensor utama 50MP di belakang serta kamera hadapan 8MP. Rakaman video yang boleh dilakukan ialah sehingga 2K 30FPS. Peranti turut dilengkapi speaker stereo, NFC, sokongan kad micro SD, pengimbas cap jari sisi, dan pemancar infra merah. Tubuh peranti juga kalis air IP65.
Sistem operasi yang digunakan ialah XOS 16 berasaskan Android 16. Sokongan yang diberikan ialah 3 versi Android dan tampalan sekuriti selama 5 tahun. Harga jualan di Malaysia belum diumumkan walaupun peranti telah disenaraikan di stor rasmi Infinix Malaysia tetapi di Bangladesh ia dijual pada harga bermula BDT 18,999 (RM 614) sebuah.
A