10 Teknologi Yang Menjadikan Ibadah Haji Lebih Selesa, Suci dan Selamat
Effi Saharudin
Musim haji akan berakhir dalam masa beberapa hari sahaja lagi dan hari ini kita menyambut Hari Raya Aidiladha. Tahun demi tahun ramai yang menerima jemputan untuk mengerjakan haji menerusi sistem giliran yang digunakan oleh Tabung Haji. Ibadah haji rasmi pertama dilakukan oleh Rasulullah pada tahun 632 Masihi (10 tahun hijrah) dan umat Islam yang mampu mengerjakan rukun Islam yang kelima ini masih melakukannya tanpa henti sehingga sekarang.

Dalam tempoh 1394 tahun ini juga pelbagai teknologi terkini telah digunakan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memastikan jemaah haji dapat melakukan ibadah dengan selesa, suci dan selamat. Berikut ialah antara 10 teknologi yang sudah digunakan setakat ini.
1.Marmar Thassos – Lantai Sejuk

Pertama sekali ini ialah “teknologi” yang sudah berusia ribuan tahun digunakan sejak zaman tamadun Yunani. Ramai yang kagum permukaan lantai marmar putih Masjidil Haram dan Masjid Nabawi tidak panas walaupun dalam keadaan cuaca panas. Ada yang mengatakan di bawah lantai terdapat pendingin udara atau paip berisi air sejuk.
Tetapi sebenarnya tidak sama sekali. Marmar Thassos daripada Kepulauan Thassos di Greece sudah digunakan di d Masjidil Haram dan Masjid Nabawi sejak 1978. Marmar ini mempunyai kemampuan menyejuk semula jadi yang sudah diketahui sejak ribuan tahun. Rongga udara kecil dalam kepingan marmar setiap satunya setebal 5cm menyerap cecair yang kemudian menyejat apabila panas sekaligus menyejukkan permukaan.
Jika anda berkesempatan melawat Masjidil Haram, anda akan dapat lihat kadang kala petugas menyimbah air untuk dikumpul rongga marmar Thassos. Tiada sistem mekanikal digunakan sebaliknya hukum fizik asas penyejukan menerusi sejatan sahaja digunakan.
2.Sistem Pintar Mengira Jemaah

Sistem pintar mengira jemaah dalam Masjidil Haram baru sahaja diperkenalkan semasa bulan Ramadan tahun ini. Ia mengira jumlah jemaah keluar dan masuk secara masa nyata. Dengan ini pihak berkuasa dapat mengelakkan kesesakan di kawasan tertentu dengan segera.
Petugas di lapangan akan mengarahkan jemaah untuk pergi ke kawasan yang kurang sibuk sekaligus mengelakkan isu berhimpit atau tragedi tragis seakan Terowong Muassim berulang. Penggunaannya paling tinggi ketika tiba waktu solat dan jemaah yang ingin melakukan tawaf akhir bagi melengkapkan rukun haji masing-masing.
3.Kereta Elektrik Untuk Tawaf

Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi telah memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) dalam bentuk kereta golf khusus untuk membantu jemaah haji warga emas, uzur dan kurang upaya menunaikan ibadah di Tanah Suci sejak 2024. Selama ini jemaah uzur ditandu atau ditolak menggunakan kerusi roda oleh pembantu.
Jemaah hanya perlu membeli tiket dan boleh mengaksesnya melalui pintu masuk lif Tangga Ajyad, pintu gerbang lif Raja Abdulaziz, dan lif pintu gerbang Umrah. Sebanyak 50 kenderaan disediakan dengan ia boleh membawa 10 orang penumpang untuk setiap perjalanan.
Waktu operasinya pula bermula dari 4 petang hingga 4 pagi setiap hari dengan bayaran sebanyak SR300 (~RM317) seorang. Terdapat potongan harga 50% untuk warga emas berusia 65 tahun ke atas serta ia ditawarkan percuma kepada golongan OKU serta kanak-kanak bawah 6 tahun.
4.Dron Membawa Ubat-Ubatan

Arab Saudi telah menggunakan sistem dron untuk menghantar ubat dan bekalan perubatan ke pusat-pusat rawatan apabila diperlukan tahun ini selepas ujian rintis dilakukan tahun lalu. Penggunaan dron memendekkan masa menghantar ubat dari 1 jam ke 6 minit sahaja yang membolehkan rawatan diberikan kepada yang memerlukan jauh lebih pantas.
Lebih daripada 2000 jenis ubat-ubatan dan kelengkapan perubatan boleh dihantar menggunakan rangkaian 136 lokasi. Dron akan kemudiannya menghantar kargo yang dibawa ke enam pusat perubatan utama yang terletak di Mina, Muzdalifah dan Gunung Arafah. Lokasi dipilih kerana ia menjadi tumpuan lebih 1.5 juta jemaah Haji tahun ini . Sistem dron ini dikendalikan oleh Terra Drone Arabia.
5. Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain

Kereta Api Berkelajuan Tinggi Haramain sudah beroperasi sejak 2008 antara Kota Suci Mekah dan Madinah. Dengan tren halaju tinggi, perjalanan 453 km dengan 5 hentian menghubungkan Mekah, Madinah, Jeddah (Sulaymaniyyah), KAEC, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz.
Untuk musim haji 2026, 2 juta tempat duduk disediakan oleh Saudi Arabia Railways (SAR) yang merupakan peningkatan 25% berbanding musim tahun lalu. Ini kini adalah Salah satu daripada 10 tren penumpang terpantas dunia, beroperasi sehingga 300 km/j membolehkan perjalanan 453 km dilakukan dalam masa sekitar 2 jam 15 minit berbanding 5-6 jam menggunakan bas sebelum perkhidmatan diperkenalkan.
6. Robot Pembantu Di Majidil Haram

Robot diperkenalkan di Masjidil Haram sejak 2022 dengan ia boleh membaca Quran, memberikan pesanan, menyanpaikan khutbah dan juga azan melalui imam. Ia turut menyertakan sebuah skrin besar yang membolehkan paparan maklumat daripada laman rasmi, serta paparan kandungan berkaitan lain.
Disamping itu, robot ini juga akan menyediakan sebuah kod palang khusus, membolehkan jemaah memuat-turun sejumlah perkhidmatan terus ke telefon pintar. Terdapat juga sokongan pembantu maya berasaskan suara. Jemaah boleh meminta maklumat berkaitan imam, jadual mingguan, maklumat berkaitan waktu solat dan banyak lagi.
Selain itu robot juga digunakan pihak pengurusan Masjidil Haram untuk membersihkan lantai. Ketika pandemik, robot digunakan untuk memberikan botol kepada jemaah supaya mereka tidak berkumpul sekaligus memenuhi keperluan penjarakan sosial pada waktu tersebut.
7.Aplikasi dan Kad NFC Nusuk

Aplikasi telefon pintar dan kad pintar Nusuk diperkenalkan sejak 2022 bagi memudahkan jemaah mendapatkan maklumat haji secara setempat serta mempamerkan permit haji yang diterima., Bagi mengelakkan kesesakan, setiap jemah perlu mempamerkan juga kad Nusuk fizikal yang mengandungi maklumat peribadi, status permit dan gambar. Pihak penguasa boleh mengetahui status jemaah dengan mengimbas kod QR atau melakukan sentuhan kerana kad fizikal mengandungi cip NFC.
Jemaah yang tidak berdaftar akan dihalang memasuki kota-kota utama serta mengakses fasiliti yang disediakan. Tahun lalu sahaja lebih 200,000 individu dihalang melakukan ibadah haji kerana tidak mempunyai permit. Sebilangan besar lebih 1301 kematian disebabkan haba tahun lalu juga terdiri daripada mereka yang tidak berdaftar secara sah.
8. Penggunaan Teksi Terbang

Dua tahu lalu Arab Saud melakukan ujian rintis penggunaan teksi terbang swapandu di Mekah sempena musim haji 2024. Teks terbang EHang EH216-S digunakan dengan ia boleh membawa sehingga dua penumpang untuk jarak perjalanan sehingga40 kilometer. Melalui eksperimen yang dijalankan, ia membawa jemaah antara Mina, Muzdalifah dan juga Arafah.
Selain eksperimen membawa jemaah, teksi-terbang ini buat peringkat awal ini akan digunakan untuk perkhidmatan kecemasan, disamping untuk menghantar barangan atau perubatan untuk para jemaah Kerajaan Arab Saudi pernah menyatakan hasrat untuk mendapatkan lebih 100 teksi-terbang yang boleh membawa para jemaah dari lapangan terbang di Jeddah terus ke hotel di Mekah. Walaupun ujian berjaya dilakukan, ini masih sekadar eksperimen kerana ia tidak diteruskan pada tahun 2025 dan 2026.
9. Mesin Air Zam Zam Seakan Coway

Di rumah saya mempunyai mesin penapis air automatik. Ia adalah pembelian terbaik kerana tak perlu lagi memasak air panas atau menyimpan air dalam petik sejuk secara manual. Tekan sahaja dan air keluar. Di Masjidil Haram, mesin dispenser air zam zam telah dipasang sejak 2024. Mesin ini menawarkan air zam zam suhu sejuk dan juga suhu bilik secara automatik
Air yang dikeluarkan daripada mesin cukup untuk cawan kecil yang disediakan. Kerana ia automatik tidak berlaku pembaziran air zam zam berlaku. Seterusnya terdapat tempat untuk membuang terus cawan kertas yang telah digubnakan oleh jemaah. Lebih banyak mesin ini akan dipasang di masa akan datang dengan ia menggantikan tong air zam zam “Coleman” yang digunakan sejak berdekad lamanya.
10.Payung Khas Untuk Jemaah Haji Mesra Solat

Pada musim haji 2024, 1301 jemaah meninggal dunia akibat kepanasan melampau menurut data Kementerian Kesihatan Arab Saudi. Penyelesaiannya ialah menggunakan payung tetapi bagi warga emas, mereka mungkin tiada kudrat untuk memegangnya sepanjang hari.
Oleh sebab itu sebuah payung khas untuk ibadah haji dan umrah telah dibangunkan sebuah firma Arab Saudi. Shadow Umbrella ini dipakai pada bahu jemaah dengan ia tidak menyentuh bahagian kepada bagi memberikan aliran udara. Ia direka untuk mempunyai rekaan ringan supaya tidak membebankan dan boleh dilipat kecil untuk dimasukkan ke dalam beg simpanan apabila tidak digunakan.
Pada asalnya payung ini dilancarkan pada tahun 2023 untuk kegunaan buruh dan anggota keselamatan yang bertugas di bawah matahari terik Arab Saudi dengan proses menghasilkannya mengambil masa empat tahun. Versi untuk jemaah haji kemudiannya dibangunkan dengan rekaan yang lebih kecil bagi memudahkan ia digunakan walaupun ketika sedang solat supaya tidak mengganggu makmum lain dalam saf dan tidak menutup dahi ketika sujud.