RTX Spark Ialah Platform Cip Pemprosesan NVIDIA Terbaru Yang Menguasakan Semua Aspek Perkomputeran Pengguna
Nazrin
NVIDIA hari ini telah melancarkan siri cip pemprosesan RTX Spark, yang merupakan sebuah kerjasama diantara NVIDIA, Microsoft dan jenama-jenama pembuat komputer untuk menghasilkan platform perkomputeran menyeluruh yang membolehkan pengguna untuk menggunakan kuasa pemprosesan hebat untuk pelbagai jenis tugas.

RTX Spark merupakan platform perkomputeran baru yang hadir dengan gabungan cip pemprosesan NVIDIA N1, dan sistem operasi Microsoft Windows 11 for Arm yang dibina khas untuk menyokong cip pemprosesan ini. Cip RTX Spark hadir dengan penggunaan cip GB10 yang sama yang digunakan dalam komputer pembangunan AI DGX Spark, tetapi Jensen Huang, CEO NVIDIA sendiri telah mengesahkan bahawa komputer riba ini boleh digunakan bukan sahaja untuk pembangunan sistem AI, tetapi juga untuk tujuan gaming, mengesahkan bahawa permainan-permainan seperti 007: First Light dan Forza Horizon boleh dimainkan pada komputer ini.

RTX Spark akan hadir dengan sokongan untuk memori LPDDR5X setinggi 128GB, dan prestasi setanding dengan kad grafik RTX 5070 juga mungkin benar, khususnya apabila memperlihatkan sokongan untuk permainan-permainan moden pada resolusi dan tetapan yang tinggi.

Kebanyakan maklumat yang tertiris sebelum ini hanya memperlihatkan maklumat tentang penawaran komputer riba, tetapi kini Jensen Huang, CEO NVIDIA telah mengesahkan bahawa reka bentuk RTX Spark tidak terhad kepada komputer riba sahaja, tetapi juga akan diperkenalkan melalui komputer desktop dan juga komputer PC kerdil dengan reka-bentuk DGX Spark.

Di acara NVIDIA yang berlangsung sebentar tadi, pelbagai rekabentuk komputer telah diperlihatkan, tetapi untuk model-model awal yang akan dikeluarkan, nampaknya model-model komputer riba akan diperkenalkan terlebih dahulu sebelum model desktop dan sebagainya.
Untuk pengeluaran awal, jenama-jenama yang akan menjadi pertama untuk memperkenalkan komputer riba RTX Spark termasuklah ASUS, Dell, HP, Lenovo, Microsoft Surface dan MSI, dan jenama-jenama seperti Acer, Gigabyte dan lain-lain akan menyusul kemudian.

Jenama-jenama lain seperti ASUS, Dell dan MSI akan memperlihatkan penawaran mereka di acara Computex Taipei. Microsoft pula nampaknya akan memperkenalkan penawaran RTX Spark mereka pada minggu hadapan sewaktu acara Microsoft Build.

NVIDIA nampaknya telahpun mengacahkan maklumat berkenaan model komputer riba Surface terbaru, yang dijangka adalah model peranti Surface paling berkuasa Microsoft setakat ini.