Realme P4 Power 5G Kini Di Malaysia – Bateri 10,001mAh Dan Harga RM1999
Amy Maizuraa
Realme P4 Power kini rasmi ditawarkan di Malaysia. Ia membawa konsep kepada realiti dengan memperkenalkan bateri Silicon Carbon berkapasiti 10,001mAh yang menjadikannya telefon komersial terawal di Malaysia dengan teknologi sebegitu.

Bateri besar 10,001mAh yang digunakan pada Realme P4 Power menyokong pengecasan pantas 80W Ultra Charge serta pengecasan berbalik berwayar 27W bagi menjadikannya mampu berfungsi sebagai power bank untuk peranti lain. Dengan kapasiti ini, Realme menjanjikan ketahanan sehingga 11.7 jam penggunaan permua, 32.5 jam tontonan video tanpa henti dan sehingga 21.4 jam navigasi peta.

Selain itu, ia turut hadir dengan cip MediaTek Dimensity 7400 Ultra (4nm) bersama cip HyperVision+ AI khusus yang menurut Realme mampu memberikan kadar bingkai sehingga 400% lebih lancar dan penggunaan kuasa 16% lebih rendah ketika menjalankan tugasan berat. Selain itu, peranti ini menawarkan pilihan memori 12GB RAM LPDDR4X serta storan dalaman 256GB UFS 3.1.

Seterusnya, Realme P4 Power 5G dilengkapi dengan skrin 6.8″ FHD+ AMOLED HyperGlow 4D Curve+ Display yang menawarkan kadar segar semula 144Hz serta kecerahan puncak 6,500 nits. Ia juga hadir dengan tetapan kamera 50MP Sony IMX882 sudut lebar dengan OIS bersama kamera 8MP ultra lebar dan swafoto 16MP. Tidak ketinggalan, ia dibina dengan penarafan IP66/IP68/IP69 bagi perlindungan air dan habuk selain ArmorShell Protection.

Realme P4 Power 5G dijual di Malaysia pada harga RM1,999 seunit. Namun, untuk masa terhad melalui promosi Superbrand Day sehingga 5 Jun, ia ditawarkan dengan potongan harga kepada RM1,599 sahaja.