X Perkenalkan Ciri Reaksi Dalam Bentuk Video Untuk Peranti iOS
Amy Maizuraa
X (Twitter) untuk pengguna iOS kini menerima ciri baharu yang dinamakan ‘Video Reaction’. Melalui fungsi ini, pengguna boleh memberikan reaksi kepada mana-mana hantaran di X dengan menggunakan rakaman video mereka sendiri. Ciri tersebut telah diumumkan secara rasmi oleh X melalui ciapan semalam.

Bagaimana ia berfungsi? Apabila pengguna melihat sesuatu ciapan di X, mereka boleh memilih untuk memberi reaksi bukan sekadar dengan teks atau emoji tetapi dengan rakaman video pendek. Video reaksi ini akan dipaparkan bersama hantaran asal menjadikannya lebih menarik dan menyerupai gaya balasan video di platform lain seperti TikTok atau Instagram Reels.

Contoh yang dikongsi menunjukkan beberapa alatan suntingan mirip dengan Reels dan TikTok. Pengguna boleh memilih gaya balasan sama ada latar belakang, bertindih atau atas-bawah. Selain itu, terdapat ikon tambahan yang mewakili fungsi seperti menukar kamera hadapan atau belakang, mengaktifkan flash serta kawalan audio.
Fungsi ini kini turut tersedia untuk pengguna di Malaysia. Berdasarkan cubaan kami, penggunaannya cukup mudah dengan anda hanya perlu memilih untuk ‘quote’ mana-mana ciapan yang ingin diberi reaksi kemudian merakam video balasan secara terus menggunakan kamera telefon