Acer Perkenal Dua Cermin Mata Pintar Baharu – AR Vision GR0 Dan GI0 AI Glasses
Amy Maizuraa
Acer memperkenalkan dua pasang kaca mata pintar baharu di Computex 2026. Daripada dua model tersebut, Acer AR Vision GR0 merupakan model yang menarik serta menonjol. Ia boleh disambungkan ke telefon, komputer riba atau tablet melalui kabel kemudian memaparkan dwi-skrin mikro OLED (satu bagi setiap mata) yang menghasilkan paparan maya sehingga 172 inci dari jarak kira-kira 20 kaki. Selain itu, ia menyokong kandungan dengan resolusi 1920 × 1080 dalam mod 2D serta 3840 × 1080 dalam mod 3D.

Skrin ini menyokong kadar segar semula 60Hz, gamut warna DCI-P3, warna 24-bit, nisbah kontras 50,000:1 serta kecerahan 200 nits. Dengan berat 69 gram, ia cukup ringan untuk peranti AR yang berwayar. Selain itu, terdapat pilihan pelindung cahaya boleh ditanggalkan dan sokongan kanta magnetik untuk rabun. Peranti ini juga serasi dengan Android, iOS dan Windows tanpa sekatan platform.

Acer turut memperkenalkan Acer GI0 AI Glasses yang boleh dianggap sebagai pesaing kepada kaca mata pintar Meta Ray-Ban. Ia menawarkan sambungan tanpa wayar dan boleh dihubungkan dengan telefon melalui Bluetooth serta Wi-Fi, di samping turut menggunakan Google Gemini sebagai pembantu AI utama.

Antara ciri menarik disediakan termasuk kamera 12MP untuk rakaman gambar dan video, terjemahan AI masa nyata, kapsyen langsung serta rakaman suara. Kesemua ini sekali lagi menjadikannya mirip kaca mata pintar Meta Ray-Ban. Semua data disimpan dalam storan dalaman 32GB. Kaca mata ini juga serasi digunakan dengan Android dan iOS melalui aplikasi Acer AspireSync dan ringan dengan berat hanya 46gram untuk bingkai sahaja.