Meta Business Agent Yang Melakukan Perniagaan Di WhatsApp, Instagram dan Messenger Dilancarkan
Effi Saharudin
Tiga tahun lalu trend dunia kecerdasan buatan (AI) ialah LLM. Kemudian tumpuan berpindah ke kemampuan menjana imej dan video sebelum bertukar lagi kepada kemampuan melakukan pengaturcaraan. Pada tahun 2026, tidak boleh dinafikan ejen AI ialah teknologi yang sedang dibangunkan dengan pesat. Google, OpenAI, Anthropic dan Microsoft masing-masing telah melancarkan sistem ejen AI tersendiri.
Pagi ini Meta Business Agent dilancarkan ke peringkat global dengan Meta mengatakan ia boleh membantu proses automasi pengurusan perniagaan yang dilakukan menerusi WhatsApp, Instagram, dan Messenger. Ciri ini telah diuji selama dua tahun di India dan kini sedia ditawarkan kepada pengguna global.

Dengan Meta Business Agent, pengguna boleh melakukan pertanyaan mengenai pelbagai topik yang mungkin ingin ditulis. Jawapan akan diberikan tanpa pengguna perlu keluar daripada aplikasi. Ia turut mempunyai kemampuan melengkapkan pembelian daripada pelanggan yang melakukan perbualan mengenai produk.
Meta Business Agent, direka untuk berinteraksi dengan pelbagai platform edagang sedia ada seperti Shopify, Zendesk, dan Shopee bagi memudahkan proses jual beli. Meta berkata, Meta Business Agent boleh meningkatkan jualan daripada 10 ke 100 kali ganda.
Pada peringkat awal ejen AI ini boleh digunakan percuma untuk dicuba oleh perniagaan sebelum perniagaan perlu membayar langganan bulanan berdasarkan token yang digunakan. Harga yang perly dibayar belum diumumkan tetapi mempunyai struktur untuk perniagaan pelbagai saiz.