Stor Simpanan Bahan Api Nuklear Selama 100,000 Tahun Kini Sedia Beroperasi Di Finland
Effi Saharudin
Bahan api reaktor stesen janakuasa nuklear perlu ditambah setiap 18-24 bulan. Ramai yang mungkin tidak menyedari, selepas bahan api ini ditukar ia disimpan secara terbuka dalam bekas yang dapat menghalang kebocoran radiasi dengan ia mampu bertahan selama 100 tahun. Oleh itu tempat simpanan kekal diperlukan kerana radiasi tahap selamat hanya akan dicapai selepas lebih 1000 tahun.

Tahun ini, stor simpanan bahan api nuklear terpakai Onkala (gua dalam bahasa Finland) akan akhirnya dibuka di Eurajoki, Finland selepas pembinaan dimulakan sejak 2004. Ia dibina di batuan dasar sedalam 437 meter bagi memastikan bahan api nuklear terpakai akan disimpan dengan selamat sehingga lebih 100,000 tahun. Ini ialah fasiliti simpanan nuklear bawah tanah dengan jangka hayat paling lama pernah dibina oleh manusia dengan kos sudah mencecah €1 bilion (~RM 4.65 bilion).
STUK, pihak berkuasa keselamatan nuklear Finland, dijangka mengeluarkan penilaian terakhir tapak simpanan menjelang akhir Jun. Sekiranya diluluskan, Onkalo akan menjadi repositori geologi dalam pertama yang beroperasi secara komersial untuk bahan api nuklear terpakai. Operasi dijangka bermula penghujung tahun ini atau awal tahun 2027. Ia akan kekal beroperasi sehingga 2100.

Proses pemindahan bahan api terpakai ke dalam tempat simpanan dilakukan sepenuhnya menggunakan lif serta kenderaan kawalan jauh. Kemudian terowong akan ditutup pula dengan konkrit untuk dikuburkan selama-lamanya.
Onkala mempunyai kapasiti menyimpan sehingga 6,500 tan bahan api nuklear terpakai dari lima reaktor Finland. Bahan api terpakai disimpan dalam bekas tembaga tahan hakisan yang kemudiannya dimasukkan ke dalam lubang sedalam 8 meter yang dikorek di batuan dasar Onkalo. Ia kemudiannya ditutup tanah liat bentonit untuk menghalang cecair dan kebocoran radiasi.
Sumber – Science Alert