Huawei Nova 15 Max Kini Di Malaysia Pada Harga RM1499
Effi Saharudin
Huawei Nova 15 Max dilancarkan di Malaysia hari ini sekitar sebulan selepas ia dilancarkan di Bangkok. Peranti ini dipasarkan dengan penekanan kepada bateri berkapasiti besar, kamera dengan sensor RYYB untuk prestasi dalam pencahayaan rendah.

Dari hadir dengan skrin OLED 6.84″ resolusi FHD+, 120Hz dan kecerahan puncak sehingga 4000 nit. Ia dipadankan dengan cip Kirin yang tidak didedahkan, memori 8GB RAM, storan 256GB dan bateri berkapasiti 8500mAh yang menyokong pengecasan 40W.
Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP Ultra Vision RYYB dengan AIS dan lensa kedalaman 2MP. Untuk swafoto pula, ia menawarkan kamera hadapan 8MP. Nova 15 Max hadir dengan rekaan Star Ring klasik bersama bezel nipis pada keempat-empat sisi bagi memberikan penampilan moden dan premium. Modul kamera bulat pula menambah identiti tersendiri dengan corak garis bergerigi serta panel belakang berkilau yang menyerlahkan gaya uniknya.

Sistem operasi yang digunakan ialah EMUI 14.2. Di Malaysia peranti ini sekadar menyokong rangkai LTE, WiFi 7, bluetooth 5.2, NFC dan speaker stereo. Peranti walau bagaimanapun tidak menerima sebarang piawaian kalis air dan debu.
Huaweri Nova 15 Max dijual pada harga RM1699 untuk model 8/256GB. Tetapi bersempena dengan pelancaran ia menerima rebat RM200 dan boleh dibeli pada harga promosi RM1499. Hadiah percuma bernilai sehingga RM827 turut diberikan dalam bentuk termasuk Huawei Band 10, jaminan 1 Tahun dan penggantian bateri percuma selama 2 tahun.
