DaVinci Resolve 21 Dengan Ciri Suntingan Gambar Kini Boleh Dimuat Turun
Effi Saharudin
Sejak dilancarkan 22 tahun yang lalu, DaVinci Resolve ialah perisian yang sinonim dengan suntingan video seperti Premiere Pro dan Final Cut. Pada April lalu, Blackmagic Design mengumumkan DaVinci Resolve versi 21 akan turut mempunyai ciri suntingan gambar seperti Lightroom. Selepas dua bulan menjalani ujian beta oleh pengguna, versi akhir DaVinci Resolve 21 kini boleh dimuat turun.

Ciri suntingan gambar diberi nama Photo Page. Ia diintegrasikan secara penuh dalam Resolve dengan sokongan LUT dan menyimpan profil warna sama seperti yang disokong dalam suntingan video. Terdapat ciri LightBox untuk melihat keseluruhan album dengan gred warna yang digunakan. Kamera Sony dan Canon juga boleh disambungkan terus kepada Resolve untuk tangkapan gambar secara terus.
Selain itu pelbagai ciri kecerdasan buatan (AI) seperti AI Magic Mask dan AI UltraSharpen juga boleh digunakan. AI UltraSharpen boleh meningkatkan resolusi gambar berbanding resolusi asal untuk kelihatan lebih tajam.

Pada bahagian suntingan video pula, puluhan ciri baharu diperkenalkan seperti sokongan video Apple Immersive bagi menghasilkan kandungan VR180 dan VR360. Terdapat tetapan untuk ia dimainkan dalam Meta Quest dan YouTube VR. MultiMaster pula membolehkan kandungan HDR dan SDR dihasilkan serentak dalam satu susur masa kerja.
Ciri AI yang diperkenalkan pula adalah seperti di bawah.
- AI IntelliSearch – cari objek, wajah, dialog dalam media.
- AI Speech Generator – hasilkan suara daripada teks atau sampel suara pengguna.
- AI CineFocus – tetapkan semula titik fokus dengan kawalan aperture & bokeh.
- AI Face Age Transformer – mengubah usia subjek.
- AI Face Reshaper – ubah bentuk ciri wajah.
- AI Blemish Removal – buang cela kulit.
- AI Slate ID – baca maklumat clapboard secara automatik.
- AI UltraSharpen – menajamkan visual.
- AI Motion Deblur – kurangkan motion blur.
DaVinci Resolve 21 Public Beta boleh dimuat turun secara percuma di laman Blackmagic Design hari ini. Versi penuh DaVinci Resolve 21 dengan semua ciri boleh digunakan akan dijual pada harga $295.
Sumber – DaVinci Resolve 21